JENAMA Yoe's terkenal dengan pengeluaran rangkaian produk minumannya dan sering menjadi pilihan ramai.

Ia dimiliki Yeo Hiap Seng Limited (YHS), pengeluar minuman di Malaysia dan Singapura.

Syarikat multinasional itu juga, mempunyai pejabat dan pasaran di Amerika Syarikat (AS), Eropah, Australia, New Zealand, Maldives, Mauritius, Mongolia, Pacific Ireland, China, Hong Kong, Kemboja, Myanmar, Laos, Vietnam dan Jepun.

Yeo's diasaskan Yeo Keng Lian, berasal dari Fujian, China, sekitar 1900-an, yang pada awalnya memulakan perniagaan dengan pembuatan sos soya di Zhangzhou, menerusi Yeo Hiap Seng Sauce Factory, pada 1901.

Beliau kemudian berhijrah ke Singapura sekitar 1930-an dan menubuhkan kembali Yeo Hiap Seng Sauce Factory pada 1938, sebelum berkembang ke Malaysia pada 1940-an.

Syarikat ini kemudian diperbadankan di Singapura pada 20 Disember 1955, sebagai Yeo Hiap Seng Canning and Sauce Factory Private Limited.

Menerusi inovasi berterusan yang dilakukan, YHS membina jenamanya, dengan menjadi perintis dalam pelbagai aspek, apabila menjadi syarikat pertama menawarkan kari ayam dalam tin kepada pengguna.

Syarikat itu juga menjadi peneraju yang menawarkan susu kacang soya (Soy Bean Milk) dan teh krisantimum dalam botol, menjadikannya mudah untuk diminum orang ramai, selain menjadi syarikat pertama di dunia yang mengeluarkan pakej minuman Asia dalam bekas 'aseptik Tetra-Brik', menggunakan sistem pemprosesan suhu ultra tinggi.

Syarikat itu kemudian disenaraikan pada 7 November 1968 dan dinamakan dengan jenama sekarang yang lebih pendek, Yeo's.

Syarikat itu beroperasi di lebih 60 negara termasuk Malaysia, Thailand, China, Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan mempunyai francais di Indonesia serta Mauritius.

Pada Jun 1995, Robert Ng mengambil alih jawatan Pengerusi Yeo Hiap Seng.

Ng dan bapanya kemudian membeli sehingga 86 peratus saham Yeo Hiap Seng, yang membawa transformasi syarikat itu daripada pengeluar makanan kepada pemaju hartanah mewah.