KUMPULAN Wen Ken yang terkenal dengan pengeluaran produk kesihatan berjenama Cap Kaki Tiga terus unggul dalam usaha memastikan keselamatan dan kesihatan para pelanggan seiring tempoh 80 tahun beroperasi.

Syarikat berkenaan yang diasaskan pada 1937 juga sentiasa mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan bagi mewujudkan perniagaan yang mampan dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Mengimbau sejarah, perusahaan ini ditubuhkan oleh empat sahabat iaitu Foo Yew Ming, Chan Seng Koon, Foo Yin dan Chong Tan Seong yang datang dari China Utara pada awal abad ke-20, yang mana di negara asal mereka bekerja di dewan perubatan serta mempunyai pengetahuan tentang perubatan.

Berdasarkan resipi tradisional, mereka memperkenalkan ubat-ubatan di Tanah Melayu dengan harapan dapat memenuhi keperluan penjagaan kesihatan asas rakyat pada harga berpatutan.

Bermula dengan dana dan sumber yang terhad di sebuah kedai kecil di sepanjang Jalan Choon Guan Singapura, empat sahabat ini hanya mula berniaga dengan beg bimbit serta berjalan kaki, kemudiannya menggunakan basikal dan apabila produk Cap Kaki Tiga meningkat keuntungan, mereka kemudiannya melabur dan semakin berkembang hingga kini.

Selepas berakhirnya penjajahan Jepun, produk Cap Kaki Tiga mengalihkan pengeluarannya ke sebuah kilang baharu di Johor Bahru pada 1945 dan kemudiannya pada 1950-an menembusi pasaran Brunei, Malaysia Timur dan Indonesia, dan populariti produk itu terus meningkat apabila kilang kedua ditubuhkan di Petaling Jaya, Selangor untuk pengeluaran air penyejuk badan pada 1968.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Wen Ken, Fu Siang Jeen, sehingga kini, Wen Ken telah membangun menjadi sebuah perusahaan antarabangsa dengan memperluaskan barisan perkhidmatan dan penawaran produknya.

“Selain Asia Tenggara, produk kesihatan Wen Ken turut meluas ke bahagian Timur Tengah, Eropah Timur dan Asia Selatan. Kita berjaya menembusi pasaran di 20 negara seluruh dunia.

“Kita mempunyai empat produk utama iaitu serbuk sakit kepala, sirap batuk, ubat kurap kulit serta air penyejuk badan, dan sehingga kini terdapat lebih 30 jenis yang dipasarkan di dalam Malaysia serta di luar negara,” katanya.

Cabaran kekalkan perniagaan

Bukan mudah untuk mengekalkan suatu jenama dalam pasaran supaya bertahan lama serta kekal relevan diterima masyarakat, dan perkara itu turut diakui Siang Jeen yang menganggap itu semua satu cabaran kepadanya supaya produk itu dapat dimajukan oleh generasi selanjutnya.

“Kebanyakan produk Wen Ken dibangunkan oleh Jabatan Penyelidikan dan Pembangunannya sendiri. Kami memiliki makmal sijil ISO/IEC 17025, Perkhidmatan Makmal MasterChem dan mempunyai kilang yang memperoleh amalan pengilangan baik (GMP) dengan lesen untuk menghasilkan perubatan Cina, herba dan produk farmaseutikal di Asia Tenggara.

“Di samping keupayaan Kajian dan Penyelidikan (R&D), kami juga turut menubuhkan rangkaian pemasaran dan pengedaran utama di benua Asia.

“Setiap anak syarikat Wen Ken berfungsi sebagai unit perniagaan yang dikendalikan secara bebas bagi mengkhususkan bidang seperti jenama dan produk, pengeluaran, pemasaran dan sebagainya.

“Setiap unit kemudiannya akan menyediakan rangkaian yang cekap untuk menjalankan keseluruhan kumpulan perniagaan,” ujarnya.

Katanya, sejak zaman kolonial Malaya, Wen Ken telah melihat banyak perubahan dan peralihan selama beberapa dekad dan kumpulan ini telah berkembang dan membangun bersama beberapa generasi.

“Walaupun dengan peredaran masa, kami tidak pernah goyah dalam usaha yang ditetapkan nenek moyang kami dan terus berkhidmat dengan penuh kebanggaan serta semangat dalam misi kami untuk membekalkan produk penjagaan kesihatan yang berkualiti dan berpatutan kepada rakyat.

“Kami juga mengkaji dan meneroka produk baru serta membuka lebih banyak pasaran yang menjangkaui kawasan geografi yang berbeza sebagai menyahut keperluan penjagaan kesihatan asas rakyat yang sentiasa menjadi keutamaan kami,” katanya.

Inovasi produk berkesan

Siang Jeen berkata, proses pembuatan automatik teknologi terkini telah diperkenalkan bagi meningkatkan kecekapan dan kualiti pengeluaran produk.

“Seiring itu, kumpulan Wen Ken sentiasa melakukan pelbagai inovasi dari sudut pengeluaran dalam usaha meningkatkan kualiti produk yang dikomersialkan mengikut peredaran zaman serta kehendak pelanggan.

“Misalnya pada 1980-an Wen Ken mula memasarkan air penyejuk badan menggunakan botol plastik berbanding botol kaca sebelum ini dan ia menarik perhatian pelanggan dan menyaksikan lonjakan jualan,” ujarnya.

Oleh itu, katanya, pihaknya sentiasa menjalankan kajian dari semasa ke semasa untuk mengetahui apa dikehendaki pelanggannya bagi memastikan produk keluaran Wen Ken kekal di hati pengguna.

“Selain itu, pembungkusan setiap produk Wen Ken juga turut melalui proses inovasi. Pembungkusan setiap produk juga dipastikan kemas, berkualiti serta menepati standard ditetapkan.

“Misalnya air penyejuk badan juga mempunyai dua jenis pembungkusan berbeza, yang mana pembungkusan terbaru itu kelihatan lebih moden dan untuk pasaran generasi muda berbanding yang lama kerana kelihatan lebih tradisional,” katanya.

Terbaru, Wen Ken memperkenalkan air penyejuk badan dalam tiga perisa iaitu laici, limau serta guava yang telah berada di Singapura dan bakal berada di pasaran Malaysia pada pertengahan tahun depan.

“Air penyejuk badan menjadi produk utama kami sejak 1937 dan ia berkesan dalam melegakan demam serta kepanasan badan.

“Selepas kejayaan memperkenalkan air penyejuk badan yang berperisa di Singapura, kami bercadang melakukan perkara sama di Malaysia.

“Bagi tujuan itu, Wen Ken akan menjalankan R&D selama tempoh antara  tiga hingga enam bulan berserta mendapatkan pandangan pelanggan untuk menentukan perisa yang dikehendaki masyarakat di negara ini,” katanya.

Utama kualiti

Sementara itu, Pengarah Kumpulan Wen Ken, Fu Shou Jeen berkata, pihaknya amat mementingkan kualiti setiap produk yang dikeluarkan serta sentiasa memastikan operasi setiap produk berada pada tahap kebersihan yang terbaik.

“Ini adalah untuk memastikan pengguna berpuas hati menggunakan produk Wen Ken. Malah kami turut mendapatkan sijil halal supaya produk dihasilkan benar-benar memenuhi standard ditetapkan.

“Kami sentiasa mengamalkan nilai teras iaitu pembuatan dan penjagaan serta penjagaan dengan kasih sayang dan kesyukuran.

“Ini sebagai tumpuan dalam menyediakan para pelanggan dengan poduk dan perkhidmatan yang berkualiti tinggi sesuai dengan Cap Kaki Tiga yang bermaksud simbol tradisi, kepercayaan dan jaminan kualiti,” katanya.

Shou Jeen berkata, produk disediakan dalam bentuk cecair, tablet, kapsul, serbuk, krim dan ubat sapu dihasilkan di kilang kami yang dilesenkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Para pekerja kami juga berdedikasi dalam menghasilkan produk kesihatan berkualiti tinggi, selamat dan berkesan yang memenuhi keperluan di luar jangkaan pelanggan kami,” katanya.

Menurutnya, bahan aktif digunakan dalam produk Wen Ken dipilih berdasarkan keaslian, bio-availability, tindakan yang didokumenkan dan mengandungi ciri keselamatan.

“Bahan mentah dibeli secara eksklusif daripada vendor yang bereputasi yang sijil analisis (COA) dilampirkan untuk setiap bahan mentah. Analisis kualitatif dan kuantitatif juga dijalankan ke atas bahan mentah untuk menguji keasliannya serta keberkesanan bahan mentah yang digunakan.

“Kami juga turut menjalankan ujian mikro bagi memastikan keselamatan dan kestabilannya serta ujian analisis lanjutan dengan penggunaan ekstrak herba kerana keberkesanannya lima kali lebih baik berbanding serbuk herba,” jelasnya.

Katanya, rujukan perubatan ditubuhkan seperti Farmacopoeia Cina, Ensiklopedia Herba dan sebagainya juga digunakan dalam membangunkan formulasi produk baharu.

“Rumusan produk berdasarkan kepada dos keselamatan dalam Pharmacopoeia Cina yang mana semua produk mematuhi peraturan KKM dan keperluan pendaftaran,” katanya yang memberitahu semua bahan mentah dan barang siap diuji menerusi makmal mereka iaitu Masterchem Laboratory Sdn Bhd.

Shou Jeen (kiri) dan Siang Jeen menunjukkan air penyejuk badan Cap Kaki Tiga yang mendapat permintaan tinggi.

Miliki pasukan profesional

Wen Ken mempunyai pasukan profesional yang memiliki pengalaman luas dalam penyelidikan, pembangunan dan perumusan perubatan tradisional Cina, ubat tradisional, farmaseutikal dan makanan kesihatan.

Shou Jeen berkata, pasukan R&D mereka terdiri daripada profesor farmakologi, ahli farmasi, ahli kimia, ahli mikrobiologi dan ahli teknologi makanan.

Malah katanya, pada setiap tahun pihaknya juga membelanjakan lima hingga 10 peratus daripada keuntungan syarikat bagi melakukan R&D demi penambahbaikan produk.

 “Prof Zhu mempunyai pengalaman bekerja berdekad lamanya dengan herba tradisional untuk merawat penyakit umum dan penyakit serius.

“Beliau kini menjadi pengetua di Kolej Perubatan Tradisional Cina Singapura dan secara aktif terlibat dalam membangunkan produk kesihatan dengan beberapa syarikat perkilangan yang terkenal di Singapura.

“Ketua Pegawai Farmasi Wen Ken Group, Encik Young terlibat secara aktif dalam semua penyelidikan, pembangunan dan perumusan produk kami, bagi memastikan keselamatan, konsistensi dan keberkesanan semua produk dihasilkan.

“Beliau menjadi ahli farmasi berdaftar sejak 1990 dan telah terlibat dalam pelbagai projek dengan penyelidik dari Universiti di China mengenai ekstrak marin dan bahan bioteknologi ekstrak marin,” katanya.

Lebih daripada usaha korporat, Wen Ken juga berusaha untuk berkhidmat dengan hati ikhlas bagi mewujudkan kesan positif kepada masyarakat.

Menurutnya, selain menjadi penaja seminar perubatan dan aktiviti di sekolah, Wen Ken juga secara aktif menyumbang kepada organisasi amal.

“Selama bertahun-tahun juga, kami menjalankan pelbagai projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertujuan meningkatkan dana dan kesedaran orang ramai terhadap golongan yang berkeperluan serta kurang bernasib baik.

“Kami menjadi penaja aktif dalam pelbagai badan amal termasuk Yayasan Perubatan Home Nursing Foundation, Rumah Johor Cheshire, Yayasan Kanser Kanak-kanak dan Persatuan Kanak-kanak Spastik Johor.

“Kami juga menganjurkan pelbagai kegiatan penjanaan dana secara berkala seperti pembersihan dan mengecat semula premis rumah amal.

“Selain membantu golongan memerlukan, kami mahu menggalakkan kakitangan kami mengambil bahagian dalam aktiviti mulia ini sekaligus menanamkan budaya korporat kami dengan penuh kasih sayang selain memberi pengalaman berharga kepada mereka,” katanya.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.