JENAMA Wall's tidak asing lagi di seluruh dunia yang terkenal dengan keenakan rasa dan kepelbagaian perisa aiskrim keluarannya.

Wall's diasaskan pada 1922 oleh Lever Brothers dan Margarine Unie.

Kini jenama aiskrim itu dimiliki konglomerat makanan Anglo-Dutch dan penjagaan diri, Unilever.

Pada awalnya, Wall's merupakan jenama produk daging di United Kingdom, yang terkenal dengan sosejnya dan ia ditubuhkan Richard Wall pada 1786, sebelum diambil alih cucunya Thomas Wall II, sekitar 1990-an.

Setiap kali musim panas, perniagaan yang dikendalikan Thomas Wall II terpaksa memberhentikan pekerjanya buat sementara waktu kerana permintaan sosej, pai dan daging kurang memberangsangkan.

Bermula dari situlah, Thomas Wall II mula menyusun idea pada 1913 untuk membuat aiskrim pada musim panas bagi mengelakkan pemberhentian kakitangannya sementara waktu.

Malangnya, idea itu tidak dapat dilaksanakan kerana Perang Dunia Pertama sehinggalah pada 1922, apabila perniagaan Thomas Wall II dibeli oleh Lever Brothers dan Margarine Unie yang kemudiannya menghidupkan kembali idea untuk menghasilkan aiskrim.

Bermula 1922, pengeluaran aiskrim dijalankan di sebuah kilang di Acton, London dan kapasiti Wall's semakin meningkat dua kali ganda selepas membuka kilang aiskrim di Gloucester, England.

Pada 2013, Wall's berkembang dalam pasaran konfeksi United Kingdom menerusi perjanjian pelesenan dengan Kinnerton Confectionery, yang kemudiannya membawa kepada pengenalan bar coklat jenama aiskrim seperti Magnum, Cornetto dan Mini Milk.

Di Malaysia, jenama aiskrim Wall's sudah berada di pasaran lebih 48 tahun, menerusi Unilever (Malaysia) Holdings Sdn Bhd.

Sehingga kini, Wall's mempunyai pelbagai kategori produk antaranya anytime snacking, multipack, Wall's Selection dan Wall's Classi' yang memenuhi selera orang ramai.

Selain kepelbagaian perisa produk, Wall's juga terkenal dengan keunikan dan inovasi produk dihasilkan antaranya mengeluarkan aiskrim berbentuk sandwich, iaitu Wall's Ice Cream Sandwich serta memasarkan aiskrim bersaiz kecil, menerusi Wall's Mini yang mempunyai saiz kon sembilan sentimeter (cm).

Bagi negara di Asia Selatan, Unilever menggunakan jenama gabungan Wall's yang dikenali sebagai Kwality Wall's.