HARGA bagi semua model Volkswagen, kecuali untuk model diimport sepenuhnya (CBU) akan lebih rendah berikutan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September 2018.

Volkswagen Passenger Cars Malaysia Sdn Bhd (VPCM) berkata, harga baharu kereta Volkswagen bukan CBU kini lebih rendah daripada enam peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Urusan Erik Winter berkata, sejajar dengan inisiatif kerajaan, SST membolehkan kumpulan itu lebih berdaya saing dari segi harganya.          

"Dengan struktur cukai baru, pengurangan harga Volkswagen berkisar antara 1.5 peratus (untuk Tiguan Comfortline) kepada 2.6 peratus (untuk Vento Highline) berbanding struktur GST sebelumnya.

"Kami percaya harga baharu serta Skim Perlindungan Harga (PPS) baru-baru ini menjadikan Volkswagen menjadi lebih menarik kepada rakyat Malaysia," katanya.

PPS akan menyebabkan VPCM menyerap apa-apa perbezaan harga antara harga GST bernilai sifar dan harga baru SST untuk semua model yang didaftarkan menjelang 15 Nov 2018 dan sementara stok masih ada.

Bagi perkhidmatan selepas jualan, Winter berkata, harga ditentukan oleh kadar cukai perkhidmatan dan pelanggan boleh memuat turun panduan harga perkhidmatan yang disemak semula di laman web Volkswagen. - Bernama