CARABELLA Creations, pengeluar tudung premium dan pakaian, merancang memperluaskan pasaran tudung jenama Veena Hijab ke negara Timur Tengah, menjelang akhir tahun ini.

Pengasasnya, Lenny Juvena Azmi yang mesra dipanggil Veena berkata, syarikat itu kini dalam proses untuk menukar fabrik dan menggunakan rekaan baharu untuk pasaran negara tersebut, yang berbeza dengan Malaysia, Brunei dan Singapura.

"Dari segi pemilihan warna, Veena Hijab perlu mengurangkan kepelbagaian pilihan warna dan mengeluarkan warna gelap, sesuai dengan cita rasa wanita di negara itu," katanya.

Veena berkata, Veena Hijab yang sudah memasuki pasaran Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak hujung tahun lalu, menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggan di negara itu dan sehingga kini mempunyai 10 ejen di sana.

"Kami menggunakan fabrik lain dan rekaan berbeza untuk koleksi tudung di UAE," katanya.

Pada masa sama, Carabella Creations berhasrat untuk meneroka pasaran United Kingdom awal tahun depan, menerusi selendang berkonsepkan body wrap.

"Kami menerima permintaan untuk menghasilkan selendang body wrap yang boleh dipakai golongan Muslimah dan bukan Muslimah. Selendang ini boleh dipakai sebagai tudung dan pada masa sama boleh digunakan ketika musim sejuk.

"Kami dalam proses menghasilkan produk ini menggunakan material dan fabrik bersesuaian dengan cuaca di negara tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Veena berkata, butik Veena Hijab & Couture yang terletak di Kiulap, Brunei akan ditutup dan dipindahkan ke Cube House, Tanjung Bunut, Brunei, yang bakal memulakan operasi Ogos ini serta menjadi pusat pengedaran jenama tersebut.

Sempena Aidiladha ini, Veena Hijab & Couture bakal mengeluarkan koleksi tudung baharu menggunakan fabrik heavy chiffon dengan potongan laser cut, selain Dahlia Kebaya Labuh.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PNS ASQ Asia Sdn Bhd (PNS ASQ), anak syarikat Perbadanan Nasional Berhad (PNS), berhasrat mengukuhkan jenama produk wangian premium, Abdul Samad Al Qurashi dari Arab Saudi, di negara ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.