ANAK syarikat milik penuh tidak langsung Kumpulan Perangsang Selangor Bhd, CPI (Penang) Sdn Bhd, membeli 1.82 hektar tanah di Kawasan Perindustrian Bayan Lepas, Pulau Pinang pada RM27.7 juta untuk membina kilang perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS).

Pembinaan kilang di kawasan baru dibeli itu, yang tiga kali lebih besar berbanding tanah sedia ada yang dimiliki syarikat, dijangka bermula pada separuh pertama 2019 dan disasarkan siap pada 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perangsang, Ahmad Fariz berkata, pembelian itu akan membolehkan CPI meningkatkan kapasiti pengeluaran dalam usaha memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam industri EMS.

CPI merupakan peserta Termoplastik Kejuruteraan (ETP) bersepadu dan EMS selain mempunyai pelanggan global di seluruh industri automotif, penjagaan kesihatan, telekomunikasi serta perindustrian dan pengguna.

“Pembelian tanah itu merupakan langkah pertama dalam melaksanakan rancangan penciptaan nilai jangka panjang untuk mempercepatkan fasa pertumbuhan tinggi CPI.

“Berdasarkan permintaan yang semakin meningkat dalam industri EMS dunia, kami melihat peluang besar untuk dimanfaatkan oleh CPI,” katanya dalam kenyataan.

CPI, menerusi produknya, mempunyai pelbagai pelanggan di seluruh dunia, termasuk syarikat peneraju pasaran dan multinasional,

Menjelang 2020, CPI akan berada di kedudukan baik bukan hanya untuk memanfaatkan jangkaan kemasukan permintaan masa depan malah meningkatkan kelebihan daya saingnya dalam industri ETP dan EMS.