Turki akan terus menarik lebih ramai rakyat Malaysia dengan menonjolkan lebih banyak aspek menarik negara itu terutamanya landskap, warisan sejarah tamadun dan budayanya.
Dewan Perniagaan Istanbul (ICOC) dalam satu kenyataan berkata, bilangan rakyat Malaysia yang melawat Turki amat menggalakkan dengan 36,222 ketibaan pada 2011, peningkatan 12 peratus daripada 32,456 pada 2010.
“Rakyat Malaysia adalah yang kedua tertinggi di rantau ini melawat Turki pada 2011, selepas Indonesia dengan 40,282 ketibaan,” katanya.
Duta Turki ke Malaysia, Serap Attay berkata, banyak aspek Turki terutamanya budaya, makanan enak dan peluang perniagaan yang ditawarkan, masih belum disedari sepenuhnya penduduk tempatan.
“Duta Turki di sini, bersama dengan agensi dan organisasi Turki lain akan terus menganjurkan lebih banyak acara di Malaysia untuk mengetengahkan banyak daya tarikan dan peluang yang ditawarkan Turki,” katanya.
Mengenai hubungan dua hala, Ataay berkata, ia bergerak maju dalam setiap bidang.
“Lawatan Perdana Menteri Turki ke Malaysia dan pematerian perjanjian perdagangan bebas merupakan keutamaan kami tahun ini dan saya menjangka hubungan akan lebih kukuh dan erat pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata, ICOC akan menganjurkan Pameran Produk Turki di Pusat Konvensyen KL antara 1 Mac hingga 3 Mac 2012, bagi menambah baik hubungan perniagaan antara kedua-dua negara.
“Kira-kira 70 syarikat Turki akan menyertainya bagi mempamerkan pelbagai jenis produk.
“Pameran itu adalah suatu yang perlu dikunjungi bagi setiap orang yang mencari peluang perniagaan baharu di Turki,” katanya.
Turki usaha tarik pelancong Malaysia
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini.
Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.





