KUALA LUMPUR - Tune Hotels, rantaian hotel nilai berjenama global, telah menerima Sijil Anugerah Kecemerlangan 2012 daripada TripAdvisor (laman sesawang perjalanan terbesar dunia).
   
Ia berkata Tune Hotel Westminster dan Liverpool Street, serta Tune Hotel Kota Baharu, diiktiraf kerana pencapaian luar biasanya dalam meraih semakan pengembara yang konsisten melalui TripAdvisor.
   
Untuk layak bagi Sijil Kecemerlangan itu, kalangan perniagaan mestilah mengekalkan rating empat atau lebih tinggi, daripada lima, seperti yang diberikan oleh pengunjung TripAdvisor.
   
Kriteria tambahan termasuklah jumlah kunjungan yang diterima dalam 12 bulan kebelakangan, katanya dalam satu kenyataan.
   
Selain itu, Tune Hotel Downtown Penang meraih Anugerah Pilihan Pengembara TripAdvisor sebelum ini tahun ini.
   
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Hotels, Mark Lankester berkata: "Saya amat berbangga dan gembira Tune Hotels sekali lagi berjaya melakar nama di peringkat antarabangsa dengan diiktiraf kerana kualiti penginapan dan pelayanannya yang berkualiti tinggi kepada pengembara di seluruh dunia.
   
"Menerima penghormatan kerana kecemerlangan dan diletakkan sebaris dengan hotel-hotel lain di peringkat antarabangsa adalah pencapaian luar biasa bagi sebuah jenama hotel baharu dari Malaysia," katanya.
   
Tune Hotel Westminster telah memenangi Sijil Anugerah Kecemerlangan ini bagi dua tahun berturut-turut.
   
Tune Hotel Westminster yang dibuka pada 2010 ditubuhkan sebagai Tune Hotel pertama di United Kingdom.
   
Tune Hotel Liverpool Street, yang dibuka enam bulan lepas pula merangkul satu lagi kemenangan setelah terpilih sebagai "Hotel Bandar Terbaik di UK" oleh majalah pelancongan berprestig "Sunday Times" baru-baru ini.
   
Tune Hotel Kota Baharu, yang dibuka tahun lepas, memenangi anugerah pertamanya, manakala Tune Hotel Downtown Penang juga telah memenangi Anugerah Pilihan Pengembara TripAdvisor 2012.
   
Dengan kejayaan Tune Hotels di UK, Tune Hotels Paddington dan Kings Cross telah bersedia untuk menjadi dua hotel terbaru bagi rantaian hotel nilai berjenama ini dengan pembukaan masing-masing pada 25 Jun dan 12 Julai.
   
Lankester berkata Tune Hotels telah mentakrif semula konsep perkhidmatan terhad 'nilai bagi wang'nya dalam rantaian hotel-hotelnya di Malaysia, UK, Thailand, Indonesia dan Filipina, dengan 30 lagi Tune Hotels akan dibuka di seluruh dunia dalam 12 bulan akan datang.
   
Pada masa ini Tune Hotels mengendalikan 11 hotel di Malaysia, dua di Bali, dua di London, Britain, tiga di Filipina dan dua di Thailand.
   
Tune Hotels di Malaysia terletak di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Lapangan Terbang KLIA-LCCT, Kota Kinabalu, Kuching, Johor Baharu, Kota Damansara, Bintulu, Kota Baharu, Kulim dan baru-baru ini, di Ipoh. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Kadar jangka pendek antara bank ditutup stabil hari ini berikutan campur tangan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menyerap lebihan kecairan daripada sistem kewangan.
  • KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Bhd (TNB), dalam usaha meningkatkan pengurusan pendedahan asetnya kepada risiko bencana alam, akan bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang meteorologi, klimatologi dan geofizik.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.