PENGELUAR produk pencuci, SR Asia Resources Sdn Bhd (SR Asia) berjenama Top5, mengukuhkan lagi kedudukannya dalam pasaran tempatan dan antarabangsa dan bakal menembusi China, awal tahun ini.

Pemiliknya, Mohd Syukri Ibhrim berkata, pada peringkat awal, SR Asia akan mengeksport sebanyak 12,000 botol Top5 ke negara itu, sekali gus memacu sasaran jualan sebanyak 100,000 sebulan pada 2018.

Menurutnya, pasaran China adalah pasaran yang luas dan Mohd Syukri optimis ia mampu memberikan pulangan yang baik kepada syarikat seperti mana kedudukan Top5 di Singapura dan Thailand.

"China memilih Top5 kerana keyakinan mereka terhadap kualiti dan halal yang dimiliki. Ia adalah peluang terbaik kepada kami untuk melebarkan perniagaan ini ke negara tersebut, rakyat negara itu suka produk buatan Malaysia.

"Untuk memenuhi permintaan dari negara tersebut, SR Asia menukar pembungkusan lima rangkaian jenis Top5 iaitu produk penjagaan kereta, pakaian, pembersihan, gel tangan, pembersihan perkilangan yang terdiri daripada lebih 30 jenis bauan," katanya pada sidang media di Majlis Ulang Tahun ke-3 Top5, baru-baru ini.

Mohd Syukri berkata, banyak maklum balas positif yang diterima terhadap penggunaan Top5, antaranya tidak mengandungi lemak haiwan dan dihasilkan dalam bentuk tiga dalam satu.

"Top5 sebagai pencuci, pelembut dan pewangi, pekat dan menjimatkan. Malahan, Top5 mempunyai wangian yang berpanjangan dan anti bakteria," katanya.

Beliau berkata, untuk memenuhi kehendak pelanggannya, Top5 akan mengeluarkan sabun berbentuk gel yang dikenali Dozee pada Februari nanti, setelah menjalankan pembangunan dan penyelidikan lebih enam bulan.