TENAGA Nasional Bhd (TNB) memenangi anugerah ‘Brand of the Year’ untuk tahun 2018-2019 di World Branding Awards bagi kali kedua selepas memenanginya pada 2014.

Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab. Rahman menerima anugerah tersebut daripada Pengerusi Forum Penjenamaan Dunia, Richard Rowles di Kensington Palace, London baru-baru ini.

Katanya, anugerah tersebut adalah bukti dedikasi dan komitmen 35,000 pekerja TNB yang bekerja keras dalam membina dan mengembangkan jenama mereka.

“Ia menjadi satu cabaran dan kepuasan untuk memberikan perkhidmatan ternaik kepada 9.4 juta pelanggan kami.

“Anugerah ini akan mendorong kami bekerja lebih keras untuk mengukuhkan TNB melalui penyediaan perkhidmatan pelanggan dan jenama terbaik,” katanya.

Pemenang anugerah dihakimi melalui tiga sisi iaitu penilaian jenama, penyelidikan pasaran pengguna dan pengundian dalam talian awam.

Tujuh puluh peratus daripada pemarkahan datang daripada undi pengguna.