TELEKOM Malaysia Bhd (TM) telah melantik Imri Mokhtar sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu berikutan peletakan jawatan Datuk Bazlan Osman berkuat kuasa hari ini.

Syarikat telekomunikasi itu berkata Bazlan juga meletakkan jawatan sebagai Pengarah Eksekutif Kumpulan mulai 28 Februari 2019.

Pengerusi Kumpulan TM Tan Sri Sulaiman Mahbob dalam satu kenyataan, berkata bakat Imri telah diasah melalui TM sendiri, dengan latar belakang yang kukuh dalam perniagaan serta strategi operasi, dan beliau menyelia operasi perniagaan Kumpulan TM.

"Imri memacu inisiatif kritikal di bawah program peningkatan prestasi 2018 serta seterusnya, dalam usaha untuk mendorong strategi kami ke arah mempercepatkan dan memperkasakan penumpuan digital," katanya.

Sebelum menyandang jawatan sebagai Pemangku CEO, Imri merupakan Ketua Pegawai Operasi TM dan Naib Presiden Eksekutif Unifi, beliau bertanggungjawab ke atas pengurusan portfolio-portfolio bersepadu merangkumi telefon, jalur lebar, mudah alih, WiFi dan perkhidmatan tambah nilai bagi kediaman TM serta pelanggan-pelanggan PKS.

Sulaiman turut melahirkan penghargaan tertinggi kepada Bazlan atas sumbangan dan dedikasinya sepanjang 16 tahun aktif dalam kumpulan. - Bernama