PEMAJU perbandaran, LBS Bina Group Berhad telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC), bagi memeterai satu perkongsian memfokuskan kepada menyediakan pelajar-pelajar TAR UC dengan persekitaran pembelajaran yang holistik.

MoU tersebut telah ditandatangani Pengarah Urusan Kumpulan LBS Bina Group Berhad, Tan Sri Lim Hock San dan Presiden TAR UC, Datuk Dr Tan Chik Heok dengan disaksikan Pengarah Eksekutif LBS, Datuk Cynthia Lim Mooi Pang dan Naib Presiden TAR UC, Dr Chook Ka Joo.

MoU ini bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar dan tenaga pengajar TAR UC, menggalakkan perkongsian jangka panjang dan meneroka idea-idea inovatif yang melibatkan kolaborasi perniagaan dan akademik.

Lim Hock San berkata, MoU ini adalah untuk perkongsian selama tiga tahun antara LBS dan TAR UC yang akan melibatkan kerjasama, pembangunan dan promosi pelbagai aktiviti bagi memberi faedah kepada kedua-dua pihak.

“Saya percaya perkara utama bagi pendidikan yang baik ialah pelajar diberikan peluang mengaplikasikan  apa yang dipelajari dalam kelas.

“MoU ini akan memulakan usaha untuk meneroka cara bagaimana kita boleh menggabungkan sumber-sumber kita, sama ada bakat atau fasiliti, bagi menyokong pengalaman pembelajaran yang lebih holistik dan lebih bermanfaat untuk para pelajar TAR UC.

“LBS amat gembira dapat menyediakan satu platform untuk pelajar-pelajar TAR UC mengalami satu persekitaran kerja sebenar sebelum menamatkan pengajian.

“Jadi, menjadi harapan kami menerusi MoU ini, kolaborasi yang berpotensi dapat dicipta termasuk peluang-peluang latihan amali, acara-acara bersama kampus dan aktiviti-aktiviti CSR,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada usahanya menggalakkan persekitaran pembelajaran yang kondusif, LBS kini sedang mengkaji rancangan untuk mewujudkan ruang belajar di sekitar M3 Mall untuk manfaat orang ramai, terutamanya para pelajar.