KEPUTUSAN kerajaan menggantung cukai eksport minyak sawit mentah (MSM) selama tiga bulan, dijangka  memberi  manfaat kepada syarikat perladangan yang mempunyai operasi huluan utama, selain mengukuhkan harga komoditi pada suku pertama tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Zakaria Arshad berkata, penggiat industri berhadapan isu paras simpanan MSM yang tinggi, dan pengukuhan ringgit memberi tekanan ke atas harga MSM pada sekitar RM2,500 setan.

“Keputusan ini tepat pada masanya dan merupakan cara berkesan bagi mengurangkan paras simpanan MSM, serentak dengan peningkatan permintaan dari China untuk Tahun Baru Cina.

“Berdasarkan perkembangan ini, kami menjangkakan peningkatan 30-50 peratus jumlah eksport ke negara pengimport utama seperti India, Pakistan, China dan Eropah. Ini akan membolehkan kami untuk meningkatkan bekalan kepada kilang penapis usaha sama kami di Pakistan pada harga yang lebih kompetitif,” katanya.

Zakaria berkata berdasarkan situasi ini, FGV menjangkakan harga purata MSM bagi suku pertama  2018 meningkat sedikit dengan dagangan antara RM2,650 dan RM2,750 setan.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi 2017, beliau berkata, operasi perniagaan teras FGV sangat baik, dengan pertumbuhan positif dalam pengeluaran tandan buah segar berbanding 2016.

“Bagi  2018, kami komited melaksanakan Pelan Strategik 2020 menerusi prestasi perniagaan teras yang lebih baik, kedudukan kewangan yang lebih kukuh, meningkatkan tadbir urus dalam semua sektor dan budaya yang tinggi dalam menyampaikan nilai mampan kepada pemegang kepentingan,” katanya.