SETIAP kali tiba Aidilfitri, Kuala Lumpur akan menjadi lengang kerana kebanyakannya akan pulang ke kampung halaman masing-masing. Ada yang menggunakan kenderaan sendiri, malahan ramai juga menggunakan pengangkutan awam sedia ada.

Penyedia pengangkutan awam juga mengambil pelbagai inisiatif untuk melancarkan perjalanan penumpang mereka sama ada melalui darat, air dan udara.

Sani Express Sdn Bhd (Sani Express) di bawah Sani United Berhad (SUB) menyediakan 37 bas bagi musim perayaan ini untuk memberikan kemudahan kepada orang ramai pulang ke kampung dari ibu kota ke pantai timur dan utara untuk menyambut Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abu Bakar Mohammad berkata, Sani Express menyediakan 68 perjalanan di kedua-dua arah setiap hari bermula 20 Jun sehingga 24 Jun, dan semua tiket ke kawasan tersebut habis dijual dalam tempoh yang singkat.

Menurutnya, Sani Express berjaya menjual lebih 30,000 tiket pergi dan balik, sebanyak 50 peratusnya daripadanya adalah penumpang yang ke Kelantan.

"Pada setiap tahun, kebanyakan penumpang kami adalah kawasan pantai timur terutamanya Kelantan. Pada tahun ini, kami menyediakan 18 bas ke sana, diikuti lapan bas ke Terengganu.

"Lebih 70 peratus penumpang kami terdiri daripada pelajar yang menuntut di beberapa buah pusat pengajian tinggi di Lembah Klang, diikuti 15 peratus adalah mereka bekerja dan bujang, manakala selebihnya adalah mereka yang berkeluarga," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Abu Bakar berkata, kesemua penumpang Sani Express sama ada perjalanan pagi atau malam ke destinasi disediakan iaitu ke Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Perlis, perlu berada di stesen bas lebih awal.

"Antara lokasi mengambil penumpang ialah Klang, Shah Alam dan Kajang; Selangor serta Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan Jalan Duta; Kuala Lumpur. Kami menjangkakan setiap perjalanan akan lewat di Kelantan berikutan keadaan trafik yang sesak terutamanya pada cuti persekolahan yang bermula 22 Jun," katanya.

Menurutnya, Sani Express juga menyediakan tiket pulang ke ibu kota bermula 28 Jun sehingga 2 Julai.

“Bagi melancarkan perjalanan, Sani Express mengutamakan keselamatan penumpang dan melakukan pemeriksaan dan servis lebih awal serta dijangka  menggunakan beberapa laluan alternatif yang disarankan pihak berkuasa di laluan Raub dan Bentong, Pahang,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • CELCOM Axiata Berhad (Celcom) menawarkan tiket wayang percuma bernilai keseluruhan RM1 juta kepada pelanggannya apabila melanggan pelan internet mudah alih Xpax atau membuat pendaftaran baharu dengan pelan Celcom First dan melakukan pembelian Max Up.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.