TIGA lagi cawangan Myfarm Outlet bakal dibuka masing-masing di Puchong, Pulau Pinang dan Setia Alam tahun ini bagi memenuhi permintaan serta keperluan produk makanan pengguna.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, Myfarm Outlet memasarkan secara terus hasil pertanian serta produk industri kecil dan sederhana (IKS) kepada pengguna dengan harga lebih murah berbanding pasar awam biasa.

Menurutnya, ketika ini enam premis seperti itu sudah dibuka diseluruh negara memasarkan pelbagai produk makanan diperlukan orang ramai setiap hari.

“Myfarm Outlet ini dibuka untuk beri peluang kepada pengguna dapatkan bekalan mencukupi ikut keperluan dengan harga lebih murah  antara lima hingga ke 20 peratus berbanding pasar awam biasa.

“Kewujudannya menjadi akses pasaran bagi pekebun dan pengusaha produk makanan untuk pasarkan produk mereka,” katanya ia inisiatif kementerian melalui  Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dalam memastikan pengguna mendapat bekalan yang cukup dengan harga berpatutan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Myfarm Outlet Kasih, Presint 7, di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Fama, Datuk Ahmad Ishak berkata, Myfarm Outlet menggunakan konsep modal rendah namun menghasilkan impak tinggi.

Katanya, enam cawangan yang beroperasi secara berperingkat sejak tahun lalu berjaya mencatat hasil jualan kira-kira RM3 juta sebulan.

“Di cawangan ini (Putrajaya) saja kira-kira RM800,000 hasil jualan direkod manakala cawangan di Kelantan pula kira-kira RM1.5 juta berjaya diraih.

“Fama bertindak dalam pengurusan outlet, menyediakan peralatan termasuk bilik sejuk beku, dan memberi  latihan kepada peniaga untuk memantapkan operasi perniagaan,”katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.