TESCO Malaysia merangkul anugerah ‘Pelabur UK Terbaik’ di Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Dewan Perniagaan Britain-Malaysia (BMCC) 2018, di Kuala Lumpur,  minggu lalu.

Anugerah diterima Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Paul Ritchie, bagi pelaburan besar peruncit yang dibuat di Malaysia sejak penubuhannya pada 2002.

“Saya ingin memberi penghormatan, dengan anugerah ini kepada lebih 8,000 rakan sekerja yang bekerja dengan Tesco di Malaysia.

"Membina perniagaan dalam tempoh 16 tahun lepas dengan saiz semasa adalah pencapaian bagi kami. Kami ingin terus memberi khidmat kepada pembeli Malaysia dengan lebih baik,” kata Ritchie dalam satu kenyataan.

Tesco Malaysia turut diiktiraf pencapaiannya dalam mengintegrasikan perniagaan, minat dan komitmen mengembangkan perniagaan di pasaran tempatan.

Penganjuran anugerah Perniagaan Terbaik Tahunan BMCC  yang julung kali diadakan bertujuan mengiktiraf individu dan syarikat terbaik dalam pelbagai kategori sempena ulang tahunnya ke-55 di Malaysia.