MUNGKIN bagi segelintir peniaga mengutamakan keuntungan lebih apabila mengambil tempahan dalam skala besar sehingga mengabaikan tempahan berskala kecil.

Tetapi tidak bagi Shenget Store Services di mana mereka lebih menerima tempahan cetakan Baju-T (T-shirt) dalam skala kecil walaupun sehelai.

Pengasasnya Abdul Ghafar Nawi berkata, dia melihat peluang perniagaan yang selalu diabaikan oleh peniaga lain untuk mengejar keuntungan dan memudahkan kerja.

“Biasanya syarikat lain akan tawarkan perkhidmatan cetakan T-shirt mengikut syarat seperti minimum 30 helai baju, termasuk pelanggan perlu sedia rekaan dan pelbagai lagi.

“Tetapi tidak bagi Shenget Store kerana kami menerima tempahan walaupun sehelai dan kami akan menasihati pelanggan mengikut bajet dan kualiti baju yang diperlukan selain menyediakan rekaan baju mengikut kehendak,” katanya ketika ditemui di Shah Alam.

Menurut Abdul Ghafar, sambutan diterimanya meningkat dari masa ke semasa memandangkan pelanggan mula mengenali perniagaannya.

“Masa awal perniagaan boleh dikatakan kami menerima tempahan cetakan baju sekitar 20 peratus sahaja, tetapi sejak beberapa bulan lalu permintaan meningkat kepada 50 peratus,” katanya.

Menyedari permintaan meningkat, Abdul Ghafar bersama rakan kongsinya Atiqah Zaki, membeli keperluan mencetak T-shirt bagi mempercepatkan proses tempahan.

“Buat masa ini kami buat cetakan di syarikat lain memandangkan belum ada peralatan cetakan sendiri.

“Insya-ALLAH dalam bulan Mac ini kami akan mula mencetak sendiri tempahan yang diterima,” katanya.