KERAJAAN Terengganu dan AirAsia kini bekerjasama dalam mempromosikan “Visit Beautiful Terengganu” di beberapa negara di Asia.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kerjasama itu akan terjalin bagi tempoh dua tahun dan mampu menarik perhatian pelancong dari negara lain.

Sebagai permulaan, pesawat itu telah memaparkan imej antara lokasi menarik di negeri ini bersama perkataan ‘Beautiful Terengganu, Malaysia’.

"Secara  tidak langsung kita dapat mempromosi Terengganu bukan sahaja di dalam negara, tetapi ke peringkat antarabangsa apabila pesawat itu mendarat,” katanya dalam sidang media sempena menyambut ketibaan penerbangan AirAsia dengan paparan "Beautiful Terengganu, Malaysia" di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah AirAsia Datuk Aziz Bakar dan selebriti terkenal yang juga Pengarah Bebas Bukan Eksekutif syarikat terbabit, Nor Neelofa Mohd Noor.

Ahmad Razif berkata kesungguhan kerajaan negeri menjalin  kerjasama itu ialah kerana yakin Terengganu mempunyai pakej yang menarik dengan keindahan pantai, pulau serta tasik dan ia perlu diketengahkan untuk perhatian pihak luar.

Ahmad Razif berkata beliau menjangka sekiranya kegunaan pesawat ke destinasi sekitar Asia sebanyak lima kali sehari selama tiga jam dan purata membawa 150 penumpang, ia dijangka mampu mencapai 405,000 sasaran pengguna.

“Jalinan kerjasama ini mampu membuatkan kerajaan negeri lebih bersedia untuk dinobatkan sebagai negeri pelancongan yang mempunyai rangkaian yang efisyen, mesra pelancongan, mempunyai nilai khazanag buaya, seni dan warisan yang mampu menggamit lebih ramai pelancong,” katanya.

Produk pelancongan negeri juga  akan dipromosikan menerusi majalah dalam penerbangan AirAsia, travel 3Sixty °. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :