KOPERASI Co-opbank Persatuan Malaysia Berhad (Co-opbank Persatuan) optimis mencapai sasaran aset pembiayaan sebanyak RM5 bilion menjelang 2020, selari dengan hasratnya untuk menjadi bank koperasi terkemuka negara.

Pengerusinya, Kamari Zaman Juhari berkata, buat masa ini, aset Co-opbank Persatuan RM3 bilion dan sasaran itu dapat diperoleh dengan pembukaan lebih banyak cawangan pada masa akan datang.

"Setakat ini, kami ada 20 cawangan sedia ada dan bakal buka empat lagi cawangan baharu tahun ini.

"Sasaran kami adalah untuk membuka tiga cawangan baharu setiap tahun bagi mencapai 30 cawangan dalam tempoh dua tahun akan datang," katanya ketika ditemui di ibu pejabat baharunya yang terletak di Menara RKT Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, empat cawangan baharu yang akan dibuka secara berperingkat tahun ini terletak di Batu Pahat, Temerloh, Kuala Selangor dan Port Dickson.

Bagi melonjakkan lagi pertumbuhan aset itu, katanya, Co-opbank Persatuan akan memperkenalkan ejen perbankan di beberapa kawasan yang dikenal pasti pada suku kedua tahun ini.

Kamari Zaman berkata, pengenalan ejen itu akan merancakkan lagi aktiviti perbankan, sekali gus memperkenalkan nama bank kepada semua masyarakat di seluruh negara dengan lebih dekat.

"Ejen perbankan itu boleh jadi kedai runcit atau koperasi yang akan memasarkan produk Co-opbank Persatuan kepada orang ramai.

"Sebagai projek permulaan, kami menyasarkan untuk melantik 50 ejen di Negeri Sembilan sebelum berkembang ke negeri-negeri lain pada masa akan datang," katanya.

Sehingga kini, Co-opbank Persatuan mempunyai 653 ahli koperasi dan 80,000 ahli individu di seluruh negara.

2017 tahun mencabar

Co-opbank Persatuan telah berjaya mencatat perolehan pendapatan operasi yang tinggi iaitu RM198.6 juta pada 2017, walaupun berhadapan dengan keadaan ekonomi semasa yang mencabar dan tidak menentu.

Kamari Zaman berkata, pencapaian ini adalah berdasarkan kepada pengeluaran pembiayaan yang dicapai pada tahun lalu sebanyak RM670 juta, meningkat 35 peratus berbanding RM496 juta pada 2016.

"Pada 2017, kami menyasarkan kadar pertumbuhan pengeluaran pembiayaan sehingga 20 peratus dengan sasaran pengeluaran lebih RM815 juta berbanding 2020.

"Sasaran kami adalah untuk mencapai kadar pertumbuhan 15 hingga 25 peratus yang melebihi RM1.1 bilion," katanya.

Sejajar dengan pertumbuhan itu, Co-opbank Persatuan turut menjangkakan aset pembiayaan bersih meningkat 20 hingga 25 peratus iaitu melebihi RM3.6 bilion.

Menurutnya, selain itu, menuju visi 2020, Co-opbank Persatuan turut memberikan tumpuan kepada peningkatan produk Ar-Rahnu sebagai salah satu strategi mempelbagaikan sumber pendapatan bank itu.

Dengan pengenalan produk baharu tersebut, katanya, bank koperasi itu menyasarkan untuk mengeluarkan pembiayaan melebihi RM170 juta menjelang 2020 melalui Skim Ar Rahnu.

Setakat ini, Co-opbank Persatuan telah mencapai nilai pembiayaan sebanyak RM23 juta hingga RM25 juta pada tahun lalu.

Agih dividen lebih baik

Melihat kepada prestasi semasa kewangan dan prospek pertumbuhan berterusan, Co-opbank Persatuan yakin untuk memberikan pulangan dividen lebih baik kepada anggota sebanyak lapan hingga 10 peratus menjelang 2020.

Kamari Zaman berkata, berdasarkan kepada pencapaian tahun lalu, Co-opbank Persatuan telah menjana pendapatan dan keuntungan ke tahap lebih tinggi serta dapat membayar dividen lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

"Tahun ini, kami optimis untuk memberikan pulangan dividen sekurang-kurangnya enam peratus kepada ahli yang dijangka akan diagih pada Jun ini," katanya.

Kadar dividen Co-opbank Persatuan bagi 2012, 2013 dan 2014 adalah sebanyak enam peratus, tetapi menurun kepada tiga peratus pada 2015 dan 5.5 peratus pada 2016.

Menurutnya, pulangan dividen ini didorong oleh prestasi keuntungan dan berikutan keputusan kewangan yang baik dicatatkan pada 2017, sekali gus menjadi yang tertinggi pernah dicapai sejak lebih 67 tahun lalu.

Co-opbank Persatuan diasaskan pada 1 Januari 1950 di Permatang Pauh, Bukit Mertajam dan menerima pengiktirafan sebagai co-opbank pertama di negara ini daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 15 September 2014.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOPERASI Co-opbank Persatuan Malaysia Berhad (Co-opbank Persatuan) menyasarkan modal syer anggota kepada RM1 bilion pada tahun depan bagi mengembangkan operasi perniagaannya.