DOHA - Perniagaan Malaysia harus mengkaji peluang-peluang yang ada di Qatar kerana negara ini kini mengalami pertumbuhan ekonomi yang teguh, kata Duta Malaysia ke negara ini, Ahmad Jazri Mohd Johar.
Ahmad Jazri berkata memandangkan Qatar akan menjadi tuan rumah kepada Piala Dunia FIFA 2022 dan sedang giat membida bagi Sukan Olimpik, acara-acara ini pastinya akan mendorong kepada pertumbuhan ekonomi yang besar baginya.
"Dengan acara-acara ini, bererti Qatar perlu menyediakan prasarana, kemudahan dan logistik. Justeru itu, ini bererti ia akan membelanjakan banyak wang.
"Kerajaan Qatar akan membelanjakan tidak kurang daripada seratus bilion Riyal Qatar bagi Piala Dunia FIFA 2022, dan mempunyai Visi Pembangunan 2030, yang menunjukkan ia memerlukan banyak usahawan untuk datang ke mari," katanya kepada Bernama.
Ahmad Jazri berkata beliau mengalu-alukan konglomerat Malaysia untuk memanfaatkan peluang-peluang perniagaan yang ada.
"Saya menyeru syarikat-syarikat besar Malaysia, kerana tempat ini bukanlah bagi syarikat kecil yang baru bermula. Syarikat-syarikat besar mempunyai keupayaan untuk melaksanakan dan mengekalkan operasi besar," tegasnya.
Malaysia dan Qatar mencatatkan perdagangan dua hala bernilai lebih RM3 bilion tahun lepas. Ahmad Jazri berkata hubungan erat dengan Qatar diperkukuh lagi melalui lawatan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Hamad Jassim Jabr Al Thani, ke Malaysia pada Disember tahun lepas.
"Semasa lawatan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Sheikh Hamad bersetuju mengadakan kerjasama untuk membentuk sebuah tabung Malaysia-Qatar berjumlah US$2 bilion, untuk membantu meningkatkan kerjasama dan pelaburan dua hala bagi kedua-dua negara," katanya.
Kata beliau Malaysia akan juga melancarkan bilik pameran nasionalnya di sini, di mana produk dan perkhidmatan Malaysia akan diperagakan untuk menggalakkan perdagangan dua hala selanjutnya.
"Bilik pameran seluas 6,000 meter persegi di pusat bandar Doha itu dijadualkan siap menjelang September tahun ini," katanya.
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sedang merancang untuk membawa 60 hingga 80 syarikat darip sektor yang berbeza-beza untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan masing-masing di bilik pameran itu.
"Saya juga telah mewujudkan Majlis Perniagaan Malaysia-Qatar yang kini hanya menunggu kelulusan daripada kerajaan Qatar.
"Dengan adanya majlis ini, kita akan ada acara, majlis dan forum bersama untuk meningkatkan selera ahli perniagaan dari kedua-dua negara untuk mejalankan kegiatan perniagaan bersama," tegas Ahmad.
Kata beliau, setakat ini, ada 16 syarikat Malaysia yang menjalankan perniagaan di Qatar, dan yang terbaru ialah Tune Group.
"Kebanyakannya adalah syarikat prasarana dan pembinaan seperti WCT Group, sebuah syarikat pembangunan harta dan pembinaan terbesar di Malaysia yang menguruskan projek Kementerian Dalam Negeri Qatar bernilai kira-kira QAR 1.3 bilion (QAR1=RM0.83)," katanya.





