PERSATUAN Pengedar Perodua (PDA) dan Kelab Vendor Perodua (KVP) menyambut baik struktur Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang baharu kerana ia membantu mengurangkan harga kenderaan Perodua.

Struktur SST berkenaan mengenakan kadar cukai 10 peratus untuk jualan sementara enam peratus untuk per­khidmatan, hanya dilak­sanakan sekali sahaja di permulaan rantaian perniagaan.

Presiden Kelab Vendor Perodua, Musa Zahidin Ahmad Zaidee berkata, terima kasih kepada pihak kerajaan kerana me­nerangkan kepada kami bagaimana struktur cukai baharu ini dilaksanakan.

"Berdasarkan struktur cukai baharu ini, kos keseluruhan kenderaan dapat dikurangkan sebanyak satu peratus hingga tiga peratus berbanding harga di bawah enam peratus GST," katanya.

Sebelum itu, Perodua telah mengumumkan bahawa harga kenderaannya telah dikurangkan kepada antara satu peratus dan tiga peratus untuk kebanyakan modelnya berbanding senarai harga di bawah era Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) enam peratus.

Berdasarkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Perodua menjual 140,900 unit antara Januari dan Julai 2018, peningkatan sebanyak 18.8 peratus daripada 118,600 kenderaan dalam tempoh sama pada 2017.

Sehubungan itu, Musa Zahidin berkata, beliau berharap kerajaan akan terus bekerjasama dengan pihak ber­kepentingan di dalam eko­sistem automotif Malaysia, bermula dari pembekal auto, pengeluar peralatan asli sehingga para pengedar sah untuk sebarang dasar yang dibuat pada masa akan datang.

Sementara itu, Presiden PDA, Khairul Nizam Ayob menyatakan terima kasih kepada Perodua dan kerajaan kerana menyokong PDA.

"Pengurangan harga di antara satu peratus dan tiga peratus berbanding harga semasa era GST akan menjadikan industri automatif lebih kompetitif.

"Kami akan be­kerja keras untuk memberi khidmat yang terbaik kepada para pelanggan dan kami amat berbangga menjadi sebahagian daripada keluarga Perodua.

"Kepada para pelanggan yang dihargai, bolehlah mengunjungi pusat jualan dan pusat servis Perodua di seluruh negara untuk men­getahui dan mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang harga baharu ken­deraan kami.

"Penasihat jualan dan servis kami yang sah juga amat berbesar hati untuk melayani anda,” katanya.