KUALA LUMPUR - Walau pun ekonomi global berhadapan masa depan yang goyah, Standard & Poor's Ratings Services terus mengekalkan tinjauan kukuh bagi pasaran bon Malaysia, yang mencerminkan perkembangan pasaran bon yang positif, pertumbuhan yang sedang dialami di dalam kewangan Islam dan asas makroekonomi yang stabil di negara ini.

Dalam satu kenyataan, Standard & Poor's berkata pasaran bon Malaysia terus menonjol dengan menjadi pusat kewangan Islam Asia, dengan adanya peraturan pintar dan ekosistem kewangan Islam yang semakin berkembang.

"Kira-kira 70 peratus daripada terbitan hutang domestik Malaysia dilakukan di dalam bentuk sukuk, yang menjadikannya pasaran bon Islam terbesar dengan lebih 60 peratus terbitan suku global," katanya.

Pengarah Urusan Standard & Poor's Surinder Kathpalia berkata para pembuat dasar di pasaran baharu muncul memandang Malaysia sebagai negara contoh pembangunan pasaran bon, kerana ia kini merupakan pasaran bon keempat terbesar di Asia, selepas Jepun, China, dan Korea Selatan.

"Pasaran bon Malaysia mempunyai infrastruktur kukuh dan rekod pertumbuhan yang jitu kerana mempunyai persekitaran kawal atur yang telus dan boleh diramal, mempunyai kepelbagaian bon bebas risiko dan satu perkhidmatan penetapan harga bon," katanya.

Pasaran mata wang Asean, yang termasuk di Malaysia, terus berkembang pada 2011, dengan menyediakan opsyen pembiayaan dan pelaburan bagi penerbit dan pelabur Asia apabila terbitan di dalam mata wang G3 menemui jalan buntu.

Kathpalia berkata pasaran ini tidak sahaja menjadi sumber dana syarikat-syarikat Asean apabila syarikat Hong Kong, India, dan Korea Selatan turut menerbitkan bon di rantau ini.

"Syarikat-syarikat Asean dijangka terus mendapatkan sumber pembiayaan alternatif kerana pasaran G3 (Amerika Syarikat, Jepun dan Zon Euro) menjadi semakin sukar dan mahal," katanya. - Bernama


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.