KUALA LUMPUR - Standard Chartered Bank menjadikan Kuala Lumpur hab perniagaan globalnya bagi perbankan pengguna Islam.
   
Ini merupakan sebahagian strategi untuk mengembangkan perniagaan perbankan Islamnya di Malaysia dan kedudukannya di peringkat global.
   
Dalam hal ini, Ketua Perbankan Islam Global Standard Chartered dan satu pasukan pakar akan berpangkalan di ibu pejabatnya di ibu negara pada akhir tahun bagi memacu momentum perniagaan dalam negara.
   
Ia juga akan terus bekerja dengan pasaran baru lain bagi membina dan mengukuhkan perbankan Islamnya di bawah jenama Standard Chartered Saadiq.
   
Dalam satu kenyataan hari ini, Standard Chartered berkata hab baru itu akan memberi penekanan terhadap kepentingan strategik pasaran Malaysia bagi strategi dan hasrat keseluruhan bank bagi francais Saadiq.
   
"Malaysia mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat kewangan Islam utama antarabangsa.
   
"Dengan Kuala Lumpur sebagai hab global perbankan pengguna Islam, kami berharap untuk memanfaatkan kepakaran dan pengalaman luas Malaysia dalam perbankan Islam, dan terus menyumbang kepada aktiviti skala kewangan Islam dalam negara," kata Pengerusi Standard Chartered Saadiq, Shayne Nelson.
   
Hab global baru itu akan diuruskan oleh Wasim Saifi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baru Standard Chartered Saadiq Bhd, tambahan kepada peranannya sebagai Ketua Global Perbankan Pengguna Islam.
   
Standard Chartered Bank merupakan bank antarabangsa pertama di Malaysia bagi menawarkan produk perbankan Islam pada 1993.
   
Pada 2008, Standard Chartered Saadiq Bhd ditubuhkan sebagai subsidiari perbankan Islam sepenuhnya dan telah melancarkan beberapa produk Islam pertama di pasaran. - Bernama