SURUHANJAYA Syarikat Malaysia (SSM) memperkenalkan sijil SSM BizTrust bagi memperkasakan lagi peniaga dalam talian sekali gus mengelakkan berlakunya penipuan dalam urus niaga dijalankan.

Pengarah SSM Kelantan, Ab Razak Isa berkata, walaupun pihaknya tidak mewajibkan pemilikan sijil tersebut namun ia adalah langkah terbaik untuk memberikan keyakinan kepada pelanggan untuk berurusan dengan syarikat mereka.

"Sijil ini kita akan berikan kepada perniagaan yang sah sebagai contoh mereka perlu ada produk dan premis perniagaan.

"Kedua-dua perkara ini mestilah yang betul dan kita akan buat tapisan keselamatan ketat sebelum meluluskan sijil SSM BizTrust," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyerahan zakat perniagaan SSM bagi tahun 2017 di Masjid Banggol Setol, Meranti.

Seramai 60 golongan asnaf menerima sumbangan zakat tersebut membabitkan peruntukan berjumlah RM18,000.

Ab Razak berkata, pendekatan tersebut adalah salah satu usaha untuk memastikan perniagaan dijalankan tiada unsur penipuan

Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu sebelum memulakan urusan jual beli dengan sesebuah syarikat.

Menurutnya, semakan boleh dibuat secara terus di laman sesawang SSM.

"Syarikat yang mendaftar secara sah dengan SSM akan mempunyai nombor pendaftaran. Melalui cara ini kita dapat membuat pemantauan dalam usaha mencegah berlakunya penipuan," katanya.

Ab Razak berkata, tahap kepatuhan peniaga dalam talian di negeri ini untuk mendaftarkan perniagaan mereka dengan SSM juga semakin baik.