KOTA BHARU - Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Mesra Sdn Bhd bertimbang rasa terhadap masyarakat kurang berkemampuan, khususnya mereka yang bermasalah membuat pembayaran balik skim perumahan disediakan.

Pengerusinya, Datuk Mohamad Hasnan Che Hussin berkata, pihaknya sentiasa mengadakan perbincangan kerana menyedari sebahagian besar pemohon skim Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) terdiri daripada mereka mempunyai pendapatan sederhana dan kurang berkemampuan.

“Kita akui ada kes pembayaran tertunggak. Kita faham apabila musim tengkujuh dan banjir menyebabkan punca rezeki berkurangan, ditambah lagi permulaan musim persekolahan.

“Sekiranya ada kes, pegawai kita akan turun dan berbincang termasuk buat struktur balik pinjaman. Tidak ada kes yang kita ambil balik rumah, kerana tujuan kerajaan bina rumah ini untuk membantu mereka kurang berkemampuan.

"Kita akan atasi masalah ini dengan kaedah terbaik,” katanya kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Dokumen Pinjaman dan Serahan Sijil Kelayakan Subsidi RMR1M Peringkat Parlimen Kota Bharu di sini, semalam.

Sebanyak 37 permohonan baharu Sijil Kelayakan Subsidi RMR1M diluluskan pada majlis itu.

Sementara itu, Mohamad Hasnan berkata, hanya 10 peratus daripada senarai pemohon RMR1M keseluruhan ditolak membabitkan isu tanah dan beberapa kes lain.

“Kadar kelulusan sehingga 90 peratus kerana pihak kami menggunakan budi bicara dan sebolehnya mahu memastikan semua pemohon layak menerima bantuan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, tahun ini SPNB Mesra Sdn Bhd akan membina 3,000 RMR1M dan 5,000 rumah sama bagi generasi kedua Felda seluruh negara.

"Kami berjaya siapkan pembinaan 6,023 unit RMR1M di seluruh Kelantan tahun lalu dan jumlah ini yang terbesar di seluruh negara.

“Pembeli tidak buat pinjaman dengan bank, sebaliknya kita yang meminjam untuk membantu rakyat dan kutipan pinjaman akan diuruskan melalui anak syarikat SPNB iaitu SPNB Dana.

“Sebab itu dalam isu ini, kita banyak buat pertimbangan dan budi bicara. Kita faham masyarakat di bawah pendapatan RM3,000 ke bawah ini agak sukar mendapat pembiayaan bank bagi membeli rumah,” katanya.