CHATIME Malaysia Sdn Bhd (Chatime Malaysia) berharap kerajaan akan terus memberikan sokongan bagi meningkatkan daya keusahawanan dalam kalangan generasi muda dengan menggalakkan penyertaan syarikat-syarikat korporat untuk membuka peluang kerjaya kepada golongan tersebut.

Pengarah Urusan Kumpulan Chatime Malaysia, Aliza Ali berkata, Chatime Malaysia berkeyakinan lebih ramai generasi muda pada masa ini menunjukkan minat mendalam untuk menjadi usahawan dan mereka berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi, termasuklah dengan dilatih menyertai syarikat-syarikat korporat.

“Kami berharap kerajaan dapat memberi galakan kepada syarikat-syarikat korporat yang menawarkan peluang perniagaan dan pekerjaan kepada usahawan muda, termasuk dalam bentuk insentif bagi meningkatkan penyertaan kumpulan tersebut,” katanya pada satu kenyataan media mengenai Bajet 2019 yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 2 November ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Chatime Malaysia, Widayu Latiff berkata, pihaknya berharap banyak kemudahan khusus seperti platform dalam talian di peringkat nasional akan diwujudkan untuk membantu usahawan wanita menjalankan dan mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat lebih tinggi.

"Platform seumpama itu akan bertindak seperti sebuah pusat sehenti dalam talian yang menyediakan pelbagai informasi lengkap berkenaan perniagaan seperti skim-skim pembiayaan dari pelbagai institusi perbankan, geran-geran yang disediakan, program-program latihan dan bimbingan daripada agensi-agensi kerajaan, sokongan akses pasaran serta jaringan perniagaan ke pasaran yang lebih meluas.

“Sebagai usahawan wanita, kami memahami kekangan dihadapi syarikat milik usahawan wanita, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai akses terhad terhadap pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan serta maklumat berguna untuk perniagaan mereka,” katanya.