AKHIR-AKHIR ini, tular kisah sebuah perkongsian tentang jenama Smiggle di kalangan pelajar sekolah khususnya kanak-kanak perempuan.

Gabungan warna merah jambu, ungu dan warna cerah menarik mata, seterusnya memikat hati mereka.

Tetapi itulah yang menjadi identiti jenama terkenal alat tulis, Smiggle sejak muncul di pasaran pada 2003 sehingga ke hari ini masih menjadi kegilaan.

Menelusuri idea asal penghasilannya, ia dimulakan Stephen Meurs dan Peter Pausewang yang mahu menghasilkan sesuatu berlainan pada alat tulis kepada lebih menyeronokkan, menarik, bergaya dan harga berpatutan, khas untuk kumpulan kanak-kanak berumur lima hingga 14 tahun.

Pada akhir 2002, Meurs mula merancang, membangun dan menghasilkan keluaran pertama alat tulis Smiggle serta mencari tapak runcit yang sesuai di sekitar Melbourne, Australia.

Pemilihan nama Smiggle pula terhasil daripada gabungan perkataan ‘smile’ dan ‘giggle’ (senyuman dan ketawa), yang mencerminkan matlamat mereka.

Pada Mac 2003, Smiggle membuka kedai pertama di Chapel Street, Selatan Yarra, sebuah kawasan membeli-belah, tempat makan dan hiburan yang terkenal di Melbourne selain berdekatan dengan beberapa sekolah yang menarik perhatian pelajar.

Kedai Smiggle pertama dibuka di Melbourne, Australia pada 2003 dan berita itu cepat tersebar berkaitan dengan produk seperti pensel, buku nota dan alat tulisnya yang berwarna cerah, menarik perhatian ramai kanak-kanak.

Hasilnya, hanya dalam beberapa bulan, syarikat tersebut berjaya membuka 20 cawangan seterusnya menarik perhatian peruncit fesyen dan pakaian yang terkenal, Just Group memujuk Smiggle menyertai Kumpulan Just pada Ogos 2007.

Pada 2008, Smiggle terus melonjak dan membuka kedai antarabangsa pertamanya di New Zealand, diikuti Singapura pada 2011 dan pada 2014, Smiggle membuka pintunya di United Kingdom.

Dua tahun lalu, Smiggle mula menyapa Malaysia dan Hong Kong selain terus komited berkembang menjadi jenama alat tulis yang paling menarik dan terkenal di dunia.

Selain mengembangkan perniagaan dan menambah cawangan di beberapa lagi negara, Smiggle sentiasa mempelbagaikan serta menambah perhiasan pada barisan produknya sehingga ke hari ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :