TANPA perlu mengeluarkan kos perjalanan ke luar negara, produk dan perkhidmatan tempatan mampu dipasarkan ke peringkat antarabangsa menerusi Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2018 (SIBS) yang sedang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur sehingga 16 September ini.

Platform yang disediakan memberi manfaat kepada kira-kira 60 peratus daripada pempamer tempatan yang mengambil bahagian dalam acara antarabangsa itu.

Bahkan dengan penglibatan kira-kira 40 peratus lagi pempamer dari 23 negara-negara Asean, menjadi satu nilai tambah untuk kelompok pemain industri tempatan dan antarabangsa saling memanfaatkan ruang dan peluang mengembangkan empayar pernigaan mereka.

Exco Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Datuk Teng Chang Khim membayangkan SIBS akan terus gah sebagai satu acara antarabangsa yang dinantikan setiap tahun bagi pemain-pemain industri pelbagai jenis perniagaan dalam dan luar negara mengambil kira Selangor sebagai pusat dunia.

Datuk Teng Chang Khim

Masakan tidak, pelbagai negara dapat dihubungkan dengan penerbangan dalam masa 8 jam dari KLIA, menjadikannya satu kelebihan dalam mengembangkan hubungan perdagangan antarabangsa.

SIBS yang bertemakan makanan dan minuman dijangka menarik sehingga 25,000 pelawat.

Tujuannya sangat jelas, SIBS 2018 menjadi platform  produk-produk dalam Malaysia dan juga Asean dapat diperkenalkan di luar Asean dan produk-produk di luar Asean boleh masuk ke Asean.

Ini terbukti apabila Chang Khim menerima maklum balas memberangsangkan daripada pempamer tempatan terlibat dalam tempoh tiga hari berlangsungnya acara itu bermula 6 September lalu.

Info menarik mengenai SIBS 2018:

-      Bertemakan makanan dan minuman (F&B).

-      Disertai negara-negara Asean meliputi Asia Pasifik, Timur Tengah, Afrika dan Eropah.

-      Dijangka menarik sehingga 25,000 pelawat dan transaksi bernilai RM250 juta.

-      Konvensyen Ekonomi Pintar & Digital Selangor 2018 akan berlangsung pada 13 hingga 15 September ini.