KUALA LUMPUR - Sharp-Roxy Sales & Service Co (M) Sdn Bhd menyasarkan untuk mencatatkan pertumbuhan perolehan lebih 20 peratus pada tahun ini yang disokong oleh permintaan kukuh produk pengguna dan elektronik.

Tahun lepas, ia mencatatkan perolehan kira-kira RM700 juta.

Pengarah Urusan Hiroyuki Nuizato berkata bagi empoh enam bulan pertama tahun ini, syarikat itu telah mencatatkan pertumbuhan perolehan 20 peratus.

"Walau pun menunjukkan prestasi tidak bermaya baru-baru ini oleh pengasas kami, Sharp Corp di Jepun, kami masih menjangka peningkatan di Malaysia, dan jenama "Sharp" kami masih menunjukkan prestasi yang baik di rantau ini."

"Kami juga telah membawa produk berinovatif dan menguasai agihan majoriti pasaran Malaysia bagi televisyen paparan hablur cecair dan barangan lain," katanya kepada media selepas pengenalan inovasi terbaharu jenama itu, Papan Putih Interaktif 80 inci (IWB), bersempena dengan kiraan 100 hari hingga ulang tahun ke-100 Sharp di sini hari ini.

IWB atau Papan Aquos, menampilkan ciri-ciri tanda interaktif, iaitu satu papan putih elektronik, yang berupaya melakukan sidang video dan sambungan komputer peribadi (PC) serta merupakan satu pendua pelbagai fungsi dan video dinding, yang menjadikannya satu penyelesaian sehenti bagi perniagaan.

Model 60 inci, 70 inci dan 80 inci masing-masing ditetapkan berharga RM34,000, RM38,000 dan RM88,000. Nuizato berkata syarikat itu menyasarkan untuk menjual 300 set Papan Aquos
80 inci pada tahun ini.

"Bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, Sharp telah menjual 80 unit model 60 inci dan 70 inci," katanya, sambil menyatakan bahawa sasaran tahun depan syarikat itu ialah untuk menjual keseluruhan 1,000 unit model 60 inci, 70 inci dan 80 inci, iaitu pertumbuhan 300 peratus berbanding tahun ini. - Bernama