Menurut Wikipedia, dadih ialah makanan tradisional Minangkabau, dibuat daripada susu sapi seperti yogurt yang diperam dalam bekas buluh (atau sebarang bekas) yang tertutup (atau ditutup dengan daun pisang).

Dadih sering kali dimakan untuk sarapan, kadangkala dimakan dengan emping dan gula jawa serta juga sedap dimakan dengan nasi panas dan sambal.

Dadih yang sejuk amat menyelerakan dimakan ketika tekak kering. Rasanya yang lemak manis, pasti membuatkan anda tidak dapat berhenti menikmatinya.

Membuat dadih sendiri lebih enak kerana bebas memilih perasa. Resipi membuat dadih amat mudah dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja kerana menggunakan bahan yang amat mudah.
Namun, kini seiring dengan perubahan masa, pelbagai dadih segera mudah didapati di pasaran.

Begitulah juga dengan Aisy Vision Enterprise, syarikat yang memproses serbuk dadih, tepung kek dan perencah mi kari di bawah label Aisy.

Pengarah Urusannya, Nur Shahar Ramli berkata, serbuk dadih segera keluaran syarikatnya itu mempunyai 13 perasa buah-buahan.

“13 perasa tersebut adalah asli, coklat, oren, pandan, strawberi, blueberry, capuccino, mangga, vanila, honeydew, jagung, keladi dan durian.

“Serbuk didih ini hanya perlu dididihkan dengan air dan kemudiannya dikacau di atas api kecil yang hanya akan mengambil masa selama tujuh minit untuk siap,” katanya.

Menurutnya, di antara kesemua perasa tersebut, perasa strawberry, jagung, coklat dan capuccino mendapat sambutan yang paling menggalakkan.

“Mungkin rasanya yang sedap membuatkannya menjadi pilihan ramai,” katanya.

Beliau berkata, keterlibatannya dalam pembuatan dadih adalah disebabkan kurangnya pesaing di dalam industri ini.

Dalam pada itu, katanya, produknya itu akan memasuki pasaran ke pasar raya besar seperti Giant dan Tesco selewat-lewatnya hujung tahun ini.

“Buat masa ini, kami mempunyai lebih 100 ejen di seluruh negara kecuali di Sabah dan Sarawak,” katanya.