JULIE'S Manufacturing Sdn Bhd, pengeluar biskut tempatan Julie’s, bakal luaskan pasaran produk di lima negara di Timur Tengah dan Eropah pada tahun ini.

Pengurus Kanan Jualan Julie's Malaysia, Dennis Swee Jing Wei berkata, syarikat menyasarkan 100 negara menjelang 2020.

"Sehingga kini, Julie's berjaya mengeksport produk ke 80 negara dan kami yakin untuk mencapai sasaran itu dengan beberapa rundingan yang dijalankan," katanya ketika pelancaran kempen Julie’s What’s Your Love Letter, baru-baru ini.

Menurutnya, Julie's juga telah berjaya mengutip perolehan jualan produk sehingga RM330 juta tahun lalu dan menyasarkan untuk mencapai RM390 juta tahun ini.

"Eksport adalah penyumbang utama kepada perolehan hasil pendapatan Julie's, di mana 55 peratus adalah daripada eksport dan selebihnya daripada pasaran domestik.

"Justeru, kami sasar perolehan pada 2020, 60 peratus daripada hasil eksport dan 40 peratus lagi hasil pasaran domestik," katanya yang menyasarkan RM500 juta perolehan jualan pada 2020.

Bagi menampung pengeluaran biskut untuk pasaran dalam dan luar negara, Julie's kini mempunyai empat kilang biskut di Alor Gajah, Melaka yang dilengkapi teknologi terkini.

Mengulas mengenai kempen Whats Your Love Letter?, Jing Wei berkata, ia sebahagian dari usaha Julie's dalam menghargai pelanggan.  

"10 pemenang bertuah akan dipilih setiap minggu bermula 8 Januari sehingga 11 Februari ini," katanya.