KOPERASI Co-opbank Persatuan Malaysia Berhad (Co-opbank Persatuan) menyasarkan modal syer anggota kepada RM1 bilion pada tahun depan bagi mengembangkan operasi perniagaannya.

Pengerusinya, Datuk Yusra Sabar berkata, sehingga kini, Co-opbank Persatuan mempunyai modal syer anggota berjumlah RM350 juta melibatkan 77,000 anggota individu dan 550 buah koperasi.

“Co-opbank Persatuan yang ditubuhkan sejak 1950 pada awalnya merupakan koperasi kredit berasaskan pertanian.

"Namun sejak 2014, kami diberi pengiktirafan oleh kerajaan sebagai bank koperasi (Co-opbank) untuk membolehkan kami memberi pembiayaan dan perkhidmatan kewangan kepada anggota dan bukan anggota serta menerima deposit daripada sektor kerajaan dan agensinya, orang awam dan juga anggota.

"Pengiktirafan ini merupakan suatu penanda aras baharu kepada Co-opbank Persatuan dengan senario dan landskap yang baru dalam sektor kewangan," katanya.

Sepanjang tiga tahun lalu, beliau berkata, aset Co-opbank Persatuan telah meningkat kepada RM2.3 bilion, berbanding RM1.2 bilion pada 2014.

"Co-opbank Persatuan kini bersedia bersaing dengan institusi kewangan lain bagi mengembangkan aktiviti perniagaan terasnya, iaitu perbankan patuh syariah.

"Untuk tujuan tersebut, Co-opbank Persatuan perlu meningkatkan modal perniagaannya bagi mengimbangi pertumbuhan aset yang ketara dan memberikan kedudukan kecairan yang mampan kepada bank itu secara keseluruhan," katanya.

Justeru, katanya, bagi memajukan perniagaan, Co-opbank Persatuan perlu meningkatkan modalnya, dengan menawarkan modal syer anggota kepada orang awam, sama ada individu dan koperasi Melayu Islam atau Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

“Untuk modal syer anggota, sekurang-kurangnya minimum RM500 untuk individu, manakala koperasi pula RM3,000.” katanya.

Terbit iRCPS

Bagi mempelbagaikan sumber modal yang ditawarkan kepada anggota individu dan koperasi, Co-opbank Persatuan akan menerbitkan saham keutamaan boleh ubah, dikenali sebagai Islamic Redeemable Convertible Preference Shares (iRCPS) sebanyak RM300 juta.

Yusra berkata, iRCPS itu hanya boleh dilanggan anggota Co-opbank Persatuan sahaja, dengan menawarkan kadar pulangan indikatif enam peratus berdasarkan prestasi kewangan bank koperasi, untuk lima tahun yang lalu.

“Saya yakin kadar ini adalah lebih tinggi daripada pulangan instrumen kewangan lain yang berada di pasaran. Kami mengunjurkan kadar pulangan ini akan meningkat sejajar dengan peningkatan prestasi menjelang tahun 2020.

“Saham keutamaan ini berbeza dengan saham biasa. Walaupun masih mempunyai nilai yang sama, tetapi dari segi agihan dividen, keutamaan diberikan kepada saham keutamaan, sebelum diagihkan kepada saham biasa,” katanya.

Beliau berkata, jumlah pelaburan minimum untuk anggota individu Co-opbank Persatuan adalah RM1,000, manakala RM10,000 untuk anggota koperasi, dengan tempoh pegangan minima selama lima tahun.

“Selepas tempoh matang, anggota akan diberi pilihan sama ada untuk mencairkan iRCPS atau menukarkannya ke dalam modal syer anggota Co-opbank Persatuan,” katanya.

Selain itu, Yusra berkata, Co-opbank Persatuan juga bakal meningkatkan infrastruktur dari segi bangunan, teknologi maklumat dan cawangan, selain meningkatkan modal insan, selaras dengan usaha pengembangannya.

“Kami perlu melatih kakitangan sedia ada memandangkan sebelum ini Co-opbank Persatuan bermula sebagai koperasi dan kurang mahir mengenai perbankan.

"Jadi kami perlu meningkatkan modal insan yang mempunyai kepakaran tertentu, untuk mencapai sasaran jumlah aset sebanyak RM3 bilion, menjelang 2020,” katanya.

Rancang perkenal ejen bank

Co-opbank Persatuan telah merancang untuk memperkenalkan ejen perbankan bagi mempercepatkan proses penyampaian perkhidmatan lebih mudah kepada pelanggan.

Yusra berkata, secara dasarnya, anggota lembaga telah bersetuju dengan cadangan tersebut dan Co-opbank Persatuan akan mengemukakan permohonan kelulusan dari pihak berkuasa dalam masa terdekat.

“Dengan ejen perbankan yang dilantik, orang ramai boleh terus berurusan dengan ejen tersebut, tanpa perlu ke Co-opbank Persatuan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Co-Opbank Persatuan juga sedang menanti kelulusan dari pihak berkuasa untuk mengeluarkan kad debit dan memperkenalkan perkhidmatan perbankan internet.

“Buat masa ini, kami tidak bercadang untuk melabur dalam kemudahan mesin juruwang automatik (ATM). Namun, kad debit Co-opbank Persatuan yang bakal dikeluarkan kelak akan memudahkan pelanggan untuk menggunakannya di lebih 3,000 rangkaian ATM di seluruh negara, yang dimiliki beberapa buah bank,” katanya.

Pada tahun ini, Co-opbank Persatuan merancang membuka dua cawangan bank baharu iaitu di Kuala Selangor, Selangor dan Batu Pahat, Johor, pada separuh kedua tahun ini.

“Pada separuh pertama tahun ini, sebuah cawangan baru dibuka di Kota Kinabalu, Sabah. Sehingga kini, Co-opbank Persatuan mempunyai 20 cawangan di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.