ESKAYVIE Sdn Bhd (Eskayvie), pengeluar suplemen kecantikan dan kesihatan 100 peratus milik Bumiputera, optimis mencapai sasaran jualan RM25 juta pada tahun ini, didorong oleh pembukaan Akademi Eskayvie yang baru dilancarkan.

Pengarah Urusannya, Kartika Wati Mohamed berkata, pada separuh pertama 2017, Eskayvie menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan merekodkan jualan RM10 juta.

“Kami yakin jualan ini dapat dipertingkatkan pada separuh kedua tahun ini dengan penubuhan Akademi Eskayvie yang membantu usahawan di bawah Eskayvie dari segi pemasaran dan kemahiran jualan produk,” katanya selepas Majlis Pelancaran Akademi Eskayvie dan Produk Eskayvie Amarawhite di Shah Alam, baru-baru ini.

Perasmian Akademi Eskayvie itu disempurnakan Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

Menurutnya, Akademi Eskayvie yang memfokuskan kepada latihan komprehensif bersistematik, ditawarkan secara percuma dan berterusan kepada usahawan yang berminat menjadi pengedar produk jenama Eskayvie.

“Ia merangkumi segala aspek pemasaran dalam talian (online) dan 'offline' yang terkini, serta turut menekankan susulan pangkalan data bagi mewujudkan pelanggan setia dan berpuas hati.

“Turut diberi tumpuan, kemahiran perakaunan, pengurusan dan jati diri.

“Sejak Akademi Eskayvie mula beroperasi April lalu, hasilnya amat menggalakkan, di mana usahawan dapat menjana pendapatan seperti diharapkan,” katanya.

Menurutnya, Akademi Eskayvie diterajui gabungan dua lembaga pengarahnya dan enam sifu pemasaran online serta ‘offline’ terkemuka.

“Penubuhan akademi ini diharap menjadi pusat sehenti iaitu kilang bagi menjana generasi usahawan berkualiti dan mampu berdaya saing tanpa perlu mengeluarkan kos tinggi,” katanya.

Mengulas tentang produk baharu Eskayvie, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Syid Ayob Syid Mustafa Alqudri berkata, Eskayvie Amarawhite sudah berada di pasaran lebih setahun.

“Produk yang membantu memutihkan kulit, cerah dan berseri, membuatkan kelihatan awet muda ini mendapat sambutan hangat di pasaran sejak diperkenalkan.

“Eskayvie Amarawhite yang dilancarkan ini ditambah nilai dengan mesra kalori dan membantu meningkatkan seri wajah,” katanya.

Menurutnya, Eskayvie Amarawhite mengandungi bahan aktif berpaten dunia iaitu Astareal P2AF dan Hytolive, yang bertindak sebagai antioksidan berpotensi tinggi bagi melindungi sel-sel kulit daripada dimamah usia, selain mencerahkan dan memutihkan kulit secara semula jadi.

“Produk ini juga membantu mengatasi kedutan dan kendur kulit dengan kandungan Nanokolagen yang mudah diserap. Ia juga membantu melembapkan kulit menerusi kandungan Trebeaut.

“Eskayvie Amarawhite didatangkan dengan rasa beri yang lazat,” katanya.

Eskayvie ditubuhkan sejak 2009 mempunyai 11 rangkaian produk suplemen kecantikan dan kesihatan, yang dijual ratusan stokis serta ribuan ejen di seluruh negara.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :