MFORCE Bike Holdings Sdn Bhd (MForce Bike) menyasarkan jualan 1,250 unit sebulan atau 15,000 setahun untuk model baharu VZ125i, skuter pertama jenama Benelli di Malaysia.

Pengurus Besar (Operasi) MForce Bike Asri Ahmad berkata motosikal Itali yang disasarkan kepada segmen pelajar dan penunggang wanita itu merupakan skuter pertama yang mempunyai fungsi lampu kecemasan dalam kelasnya.

Benelli VZ125i dikuasakan oleh enjin satu silinder empat strok (SOHC) berpenyejukan udara 124 cc dengan sistem suntikan bahan api yang mampu menghasilkan kuasa 8.4 hp pada 7,500 rpm dan 9.0 Nm tork pada tahap 6,000 rpm.

Skuter ini dilengkapi dengan panel instrumen paparan LCD, lampu hadapan dan lampu isyarat LED serta dilengkapi dengan gear transmisi CVT baharu yang membolehkannya dihidupkan dengan pantas.

Model VZ125i boleh didapati di kedai pengedar motosikal Benelli seluruh negara bermula Disember 2018 dalam tiga pilihan warna - biru, merah dan hitam, pada harga RM5,288 hingga RM5,588 (VZ125i SE), termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tetapi tanpa cukai jalan dan insurans. - Bernama