BURSA Malaysia menyertai aliran meningkat dalam kebanyakan pasaran ekuiti global untuk ditutup tinggi pada tengah hari ini bagi mengakhir sesi pagi dengan sokongan belian dilihat dalam kaunter produk pengguna dan perindustrian yang tersenarai di Pasaran Utama.

Pada rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 6.32 mata kepada 1,721.20 daripada paras penutup 1,714.88 semalam.

Seorang peniaga berkata dagangan pada Rabu di Bursa Malaysia tidak menentu sepanjang sesi dagangan, tetapi minat belian saat-saat akhir dengan aktiviti belian saham berharga rendah dilihat menyokong bursa pada akhir dagangan. 

Beliau juga berkata peningkatan jumlah dana asing juga memberi sokongan kepada dagangan.

“Melihat daripada aliran dalam pasaran pendapatan tetap, sebahagiannya menyimpan wang mereka dalam instrumen pasaran wang seperti Bil Perbendaharaan Malaysia. Dalam erti kata itu, pelabur asing tidak keseluruhannya keluar dari pasaran kita,” katanya.

Indeks utama dibuka 11.08 mata lebih tinggi pada 1,725.96 dan bergerak antara paras 1,718.47 dan 1,726.10 sepanjang sesi dagangan. 

Di keseluruhan pasaran Bursa Malaysia, kaunter untung lebih tinggi berbanding kaunter rugi sebanyak 435 berbanding 302, dengan 325 kaunter tidak berubah, 791 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 1.36 bilion unit bernilai RM1.08 bilion.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan PChem naik lima sen setiap satu masing-masing kepada RM9.33 dan RM9.75, PBBank dan Tenaga kedua-duanya meningkat 10 sen kepada RM24.70 dan RM14.92, manakala CIMB menambah dua sen kepada RM5.70.

Dalam kalangan kaunter cergas, KGroup meningkat dua sen kepada lapan sen, TatGiap naik 3.5 sen kepada 21 sen, Permaju dan Hibiscs, kedua-duanya menokok tiga sen kepada masing-masing kepada 35 sen dan RM1.18, manakala SapNRG turun satu sen kepada 36 sen.

Indeks FBM Emas Shariah meningkat 48.97 mata kepada 12,114.46 dan FBM 70 naik 53.67 mata kepada 13,962.67.

Indeks FBM Emas menokok 45.61 mata kepada 11,939.63, Indeks FBMT 100 naik 43.71 mata kepada 11,779.86 dan Indeks FBM Ace menambah 27.89 mata kepada 5,012.55.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 46.90 mata kepada 7,418.26 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 71.04 mata kepada 17,302.52, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.07 mata kepada 175.74. - Bernama