SAHAM di Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi hari ini menjejaki peningkatan semalaman di Wall Street dalam keadaan harga minyak mentah yang lebih stabil.

Pada jam 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 11.82 mata kepada 1,706.03 daripada 1,694.21 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks itu dibuka 11.60 mata lebih tinggi kepada 1,705.81 hari ini.

Lingkungan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 183 berbanding 52, manakala 138 kaunter tidak berubah, 1,508 kaunter tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 85.92 juta unit bernilai RM55.59 juta.

Dalam nota hari ini, Public Investment Bank Bhd berkata FBM KLCI mencatatkan prestasi lebih tinggi memandangkan Wall Street turut memberi tumpuan kepada faktor lain selain laporan mengenai Brexit di samping mengambil pandangan yang lebih optimistik mengenai perdagangan antara AS dan China.

Sementara itu, harga minyak mentah menunjukkan peningkatan stabil dengan harga minyak mentah Brent meningkat kepada AS$66.62 setong pada jam 9.05 pagi.

Sementara itu, Maybank IB Bank (Maybank IB) berkata memandangkan harga komoditi, yang mencatatkan penurunan, kekal tidak berubah maka belian semasa harga rendah turut dijangka wujud semula dengan tumpuan kini kepada saham berkaitan eksport susulan penyusutan ringgit.

“Secara teknikal, kami menjangkakan FBM KLCI bergerak antara paras 1,680 dan 1,720 hari ini, pada masa sama sokongan menurun pada 1,680 dan 1,658," menurut bank itu.

Bagi saham berwajaran tinggi, Maybank naik enam sen kepada RM9.44, Tenaga meningkat 10 sen kepada RM14.92, Petronas Chemicals bertambah satu sen kepada RM9.41, CIMB menokok tujuh sen kepada RM5.66 namun Public Bank turun dua sen kepada RM24.48.

Saham aktif pula, Tatt Giap dan Hibiscus masing-masing naik satu sen kepada 23.5 sen dan RM1.07,  Permaju menambah 1.5 sen kepada 41.5 sen, PUC meningkat setengah sen kepada 15 sen manakala Sapura tidak berubah pada 36.5 sen.

Nestle merupakan saham paling untung setelah melonjak RM1.50 kepada RM145.90, manakala Batu Kawan mendahului senarai saham paling rugi apabila turun 28 sen kepada RM16.28.

Indeks FBM Emas naik 79.14 mata kepada 11,853.96, Indeks FBMT 100 menokok 80.58 mata kepada 11,692.72, FBM 70 bertambah 94.20 mata kepada 13,923.92 dan Indeks FBM Ace meningkat 13.78 mata kepada 4,958.24.

Indeks FBM Emas Syariah melonjak 93.01 mata kepada 11,961.29.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan menambah 85.94 mata kepada 17,287.46, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Industri naik 0.87 mata kepada 173.98 dan Indeks Perladangan meningkat 39.04 mata kepada 7,274.66.- Bernama