RINGGIT ditutup lebih kukuh berbanding dolar AS hari ini sejajar dengan mata wang serantau lain susulan keadaan tidak menentu dalam hala tuju ekonomi Amerika Syarikat (AS), kata para peniaga.  

Pada jam 6 petang, ringgit berada pada 4.1640/1670 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1730/1780 pada Isnin.

Seorang peniaga berkata kemenangan Parti Demokrat dalam Dewan Perwakilan AS dalam pilihan raya pertengahan penggal negara itu meningkatkan prospek kegawatan politik yang mencetuskan keraguan terhadap agenda ekonomi Presiden Donald Trump.

“Majoriti parti Demokrat menguasai dewan perwakilan buat pertama kalinya dalam tempoh lapan tahun akan mengehadkan keupayaan Trump untuk mengemudi programnya menerusi Kongres,” katanya.

Bagaimanapun, unit tempatan ditutup kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0419/0445 daripada 3.0325/0372 pada Isnin tetapi berbanding yen Jepun ia meningkat kepada 3.6830/6860 daripada 3.6838/6885.

Unit tempatan turun berbanding pound Britain kepada 5.4815/4871 daripada 5.4266/4347 pada Isnin dan susut berbanding euro kepada 4.7844/7883 daripada 4.7493/7554. - Bernama