RINGGIT yang dijangka didagangkan berhati-hati, susulan tindakan pelabur untuk mengelak mata wang berisiko, didagangkan antara RM4.09 dan RM4.16 berbanding dolar AS minggu depan.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kini berlaku tindakan untuk mengelak daripada mengambil risiko ekoran kebimbangan terhadap kesan penularan dari Argentina, Turki dan Afrika Selatan, selain jangkaan pelaksanaan tarif oleh pentadbiran Presiden AS Donald Trump selepas tamatnya ulasan awam semalam.

Sementara itu, statistik penanda aras buruh, Gaji Bukan Ladang (NFP), dijangka menunjukkan bacaan yang sihat, yang membolehkan Rizab Persekutuan AS membuat keputusan menaikkan kadar faedah asas pada mesyuaratnya 26 September depan.

"Jika ini berlaku  aset dan mata wang ekonomi pesat membangun dijangkakan terjejas, termasuk ringgit," katanya.

Namun sekurang-kurangnya, Mohd Afzanizam berkata Malaysia tidak akan mengalami dua defisit serenak (defisit akaun semasa dan defisit fiskal).

Dalam tempoh sebulan hingga kini, ringgit susut kira-kira  0.86 peratus berbanding dolar, namun lebih baik daripada won Korea (-0.89), rupiah Indonesia (-0.91) dan rupee India (-1.14), kata Mohd Afzanizam.

"Ringgit mungkin merupakan mata wang yang paling kurang terjejas. Tahap sokongan dan rintangan adalah spada ekitar RM4.09 dan RM4.15. Berkemungkinan kedudukan ringgit akan berlarutan pada tahap ini dalam tempoh pendek," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Kanan dan Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata walaupun nota tempatan menyusut nilai berbanding dolar US sejak beberapa hari kebelakangan ini, prestasinya masih dianggap lebih baik daripada mata wang lain di rantau ini .

"Oleh itu untuk tinjauan minggu depan, prestasi ringgit akan bergerak antara RM4.14 dan RM4.16," kata Ahmed Razman.

Sementara itu pada Rabu, Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada 3.25 peratus selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari selama dua hari.

Minggu depan, pasaran akan ditutup pada hari Isnin dan Selasa sempena sambutan Hari Keputeraan , Yang Di-Pertuan Agong dan Awal Muharram.

Pada Jumaat, nota tempatan turun kepada 4.1435/1465 berbanding dolar US daripada 4.1080/1110 minggu lepas.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan lebih rendah.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0139/0163 daripada 3.0073/1100 dan jatuh berbanding pound British kepada 5.3725/3768 daripada 5.3462/3525 minggu lepas.

Sementara itu, berbanding yen Jepun, ringgit susut kepada 3.7406/7444 daripada 3.6820/6863 sebelumnya dan lebih rendah berbanding euro pada 4.8210/8257 daripada 4.8055/8099.- Bernama