PENGUSAHA restoran makanan dan katering, Sirah Heritage Holdings melalui jenamanya Pak Tam merancang membuka tiga lagi cawangan baharu iaitu di Kuala Lumpur dan Perak menjelang akhir tahun ini dengan jumlah pelaburan melebihi RM3 juta.

Pengarah Urusannya, Ruslin Ibrahim berkata, setakat ini Pak Tam mempunyai 13 cawangan termasuklah cawangan baharunya yang dibuka baru-baru ini di Seksyen 14, Shah Alam, Selangor.

Menurutnya, pembukaan cawangan baharu restoran Pak Tam bergantung kepada kedudukan lokasi strategik, keluasan dan saiz, aliran trafik dan sebagainya yang mana setiap cawangan Ruslin akan memperuntukkan RM400,000.

"Jumlah pelaburan bergantung konsep kedai dan lokasi restoran yang akan dibuka sama ada dalam bangunan atau hentian rawat dan rehat (R&R). Setakat ini, restoran Pak Tam terdapat di negeri Perak, Melaka, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

"Kami rancang akan buka di seluruh negara, tetapi secara berperingkat. Pak Tam juga akan tembusi pasaran antarabangsa kerana akan buka cawangan di Makkah dan Indonesia selewat-lewatnya akhir tahun depan," katanya ketika ditemui di cawangan baharunya di Seksyen 14, Shah Alam.

Ruslin berkata, sekarang beliau dalam perbincangan untuk membolehkan Pak Tam beroperasi di kedua-dua negara tersebut.

"Saya sasarkan peningkatan perolehan meningkat pada tahun ini berbanding tahun lalu dipacu penambahan cawangan dan promosi di media," katanya.

Ditanya pemilihan cawangan ke-13 Pak Tam di Shah Alam, Ruslin berkata, ia lokasi strategik dan yakin Pak Tam akan jadi pilihan penduduk setempat dan sekitar.

"Konsep kedai ini lain daripada lain. Pak Tam mempunyai kekuatan sendiri kerana kita ketengahkan konsep kedai yang meliputi menu dibuat sendiri iaitu mi dan roti, peralatan dan dekorasi kedai selesa kepada pelanggan.

"Restoran ini mampu memuatkan 85 orang pada satu masa dan harga makanan dan minuman adalah berpatutan. Selain menu yang popular di setiap Restoran Pak Tam seperti mi rebus, pasembor dan sebagainya, Restoran Pak Tam juga menginovasi peralatan yang digunakan," katanya.

Tambahnya, mug yang digunakan akan berubah warna mengikut suhu air dan bekas air berbentuk tower (menara) yang boleh diisi air tiga liter, kedua-duanya adalah tarikan baharu di Restoran Pak Tam.

Restoran Pak Tam beroperasi bermula jam 7 pagi sehingga 12 tengah malam. Selain restoran, Ruslin juga menyediakan perniagaan food truck dan beberapa produk makanan dan minuman.