RESTORAN Man Ayam Kampung (MAK) akan membuka dua lagi cawangannya berikutan restoran itu mendapat sambutan yang memberang­sangkan kerana menge­tengahkan konsep ala kam­pung dalam setiap sajiannya.

Pemiliknya, Mohd Shahman Mohd Yusoff berkata, setakat ini, MAK hanya beroperasi di Seri Kembangan, Selangor menyajikan lebih 40 jenis masakan kampung yang popular di seluruh negara.

Menurutnya, kebanya­kan pelanggannya adalah penduduk sekitar Putrajaya, Seri Kembangan, Cyberjaya dan Lembah Klang sejak beroperasi pada Februari lalu.

"MAK rancang membuka cawangannya di Putrajaya dan Sungai Besi pada 2019 kerana mendapat permin­taan dalam kalangan pen­duduk di sana sekali gus memberikan kemudahan kepada mereka. Ia akan dibuka di lokasi yang strategik yang dijangka akan memu­atkan 100 orang pada satu-satu masa.

"MAK menyajikan lebih 40 jenis masakan kampung yang popular di seluruh negara. Kami sedar, ramai penduduk di sini berasal dari pelbagai negeri dan tercari-cari restoran yang menyajikan hidangan kampung untuk dinikmati pada waktu tengah hari,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, antara menu popular ayam kampung goreng dan sotong goreng yang dihidangkan secara panas-panas, gulai kawah daging, siput sedut masak lemak, sambal bilis kristal dan gulai rebung.

"Setiap hari, kami menggoreng lebih 90 ekor ayam kampung. Kami meng­gunakan ayam kampung dara kerana isinya lebih lembut. Bagi sotong pula, hampir 80 ekor diperlukan setiap hari. Sotong yang digunakan bersaiz sekitar 13 hingga 15 sentimeter. Hida­ngan ini didatangkan ber­sama sos manis.

"Bagi penggemar ulam, Restoran MAK menyajikan lebih 16 jenis ulam-ulaman. Antaranya ulam raja, selom, jantung pisang, kacang botol, bendi, petai dan pegaga.

"Kami menyediakan ulam-ulaman secara segar kepada para pengunjung bersama sambal belacan dan budu,” katanya.

Beliau memberitahu restorannya turut menye­diakan pelbagai air minuman termasuk dua jenis jus iaitu mangga kisar dan jus durian Belanda yang mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan kerana keaslian rasanya.