RAKUTEN Trade Sdn Bhd (Rakuten Trade) memperkenalkan program ganjaran unik bersama tiga penyedia program kesetiaan terkemuka, AirAsia Big, B Infinite oleh Berjaya Group dan BonusLink.

Ketiga-tiga syarikat itu menjadi rakan sekutu di bawah ekosistem Rakuten Trade dalam usaha meningkatkan pasaran perdagangan ekuiti atas talian.

Pengarah Urusannya, Kaoru Arai berkata, Rakuten Trade memberi ganjaran kepada pelabur runcit untuk melaksanakan perdagangan menerusi platform dagangan dalam talian mereka. 

"Pelabur akan mendapat ganjaran secara automatik dengan RT Points apabila mendaftar sebagai pelanggan baharu, berdagang, memindahkan saham dan melalui sistem rujukan. 

"RT Points yang diperoleh kemudiannya boleh ditukarkan ke dalam mata AirAsia Big, B Infinite atau BonusLink dengan nilai yang sama," katanya.

Arai berkata, ekosistem baharu bersama tiga rakan kongsi itu memberikan Rakuten Trade cara ideal bukan hanya menarik pelabur runcit baharu, tetapi juga pedagang sedia ada.

Sementara itu, Ketua Komersial (Singapura & Malaysia) Program Kesetiaan AirAsia Big, Kathleen Leong berkata, kerjasama itu membolehkan AirAsia Big meluaskan sistem mereka dan mendedahkan pelanggan baharu kepada cara lain untuk mendapatkan serta menebus mata AirAsia Big.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.