• Pengerusi I-Bhd, Tan Sri Lim Kim Hong (kiri) bersama Kobchai menunjukkan gambaran pusat beli belah yang akan dibina di i-City pada satu majlis, semalam. Pengerusi I-Bhd, Tan Sri Lim Kim Hong (kiri) bersama Kobchai menunjukkan gambaran pusat beli belah yang akan dibina di i-City pada satu majlis, semalam.
1 /

I-Bhd akan membina pusat membeli belah melalui perkongsian dengan syarikat dari Thailand di i-City, Shah Alam, iaitu sebahagian daripada projek pembangunan di bandar digital itu.

Pembinaan pusat membeli belah dengan keluasan 1.5 juta kaki persegi dan 300 kedai itu dijangka dimulakan bulan depan dan siap sepenuhnya pada 2016. Ia akan menjadi pusat beli-belah terbesar di Selangor.   

Ketua Pegawai Eksekutif I-Bhd, Datuk Eu Hong Chew berkata, beberapa lagi fasa pembangunan kediaman dan komersial akan dijalankan di i-City sehingga 2017 dengan nilai jangkaan RM500 juta.

Menurutnya, I-Bhd menyasarkan 20 peratus daripada keseluruhan pembangunan di i-City akan disumbangkan komponen hartanah menjelang 2017 sejajar dengan matlamat syarikat itu untuk memastikan aliran pendapatannya kukuh.

"Kami menjangkakan kemasukan pelaburan melebihi RM1 bilion bagi projek pembangunan i-City dalam tempoh lima tahun ini, termasuk pusat membeli belah tersebut.

“Apabila siap pusat beli belah, projek kediaman dan komersial ini, separuh baki tanah di i-City yang berkeluasan 13 juta kaki persegi telah dibangunkan,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara I-Bhd dan CPN Global Company Ltd (CPN) di Shah Alam, semalam.

CPN, syarikat pemaju runcit terbesar di Thailand akan menubuhkan dua anak syarikat CPN Real Estate Sdn Bhd dan CPN Malls Malaysia Sdn Bhd untuk projek itu manakala I-Bhd diwakili anak syarikatnya i-City Properties Sdn Bhd (ICP).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CPN, Kobchai Chirathivat berkata, kerjasama itu mencerminkan langkah strategik pertama syarikat tersebut yang yakin pelaburan itu akan menjadi titik permulaan baik untuk CPN menjadi pemaju peruncitan hartanah serantau.

“Kami percaya pengalaman ICP dalam pengurusan pembinaan akan menyumbang kepada kejayaan projek ini. Dalam masa sama, kami juga menyumbang daripada aspek kepakaran di mana CPN dikenali sebagai peneraju pembinaan 21 pusat beli-belah di Thailand,” katanya.