$entry.content.caption.value
Bank Simpanan Nasional (BSN) menyasarkan penambahan 1,000 ejen sehingga akhir Februari bagi operasi perbankan tanpa cawangan (PTC) yang diperkenalkan sejak Januari lalu, dalam melengkapkan 1,500 ejen di seluruh negara menjelang penghujung Mac ini.
PTC adalah saluran baru membantu pelanggan di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai perkhidmatan bank bagi mengakses perkhidmatan kewangan menerusi ejen yang dilantik BSN.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Jabatan Perniagaan Komunitinya, Azaddin Ngah Tasir berkata, setakat ini, BSN telah memiliki 668 ejen di seluruh negara iaitu Selangor (87), Sabah (70); Perak (61); Johor (60); Sarawak (55); Terengganu (52); Kedah dan Perlis (45); Melaka (44); Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing (42); Kelantan (36) dan Kuala Lumpur (30).
Menurutnya, bagi memberikan kemudahan kepada pelanggan, BSN akan terus menambah perkhidmatan PTC itu sehingga 5,000 ejen dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“Menerusi ejen-ejen yang dilantik daripada pengusaha kedai runcit yang dibekalkan dengan logo BSN ini, orang ramai kini boleh mendapatkan perkhidmatan seperti simpanan deposit; pengeluaran tunai; pembayaran bil utiliti; pembelian Sijil Simpanan Premium (SSP) dan pembayaran tanpa tunai (kad debit).
“Dengan menggunakan mesin Terminal Point Of Sales (POS), semua transaksi yang dilakukan tidak dikenakan sebarang caj tambahan,” katanya, ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
Azaddin berkata, orang ramai tidak perlu risau tentang kredibiliti ejen yang dilantik kerana BSN telah memberikan kursus, taklimat dan tunjuk ajar sebelum menjalankan operasi, selain pemantauan yang dilakukan kakitangan BSN dari cawangan.
“Selain itu, ejen yang dilantik perlu mempunyai kriteria, antaranya perniagaan dan lesen telah beroperasi lebih 12 tahun; mempunyai akaun BSN; lokasi lima kilometer jauh dari cawangan BSN dan mempunyai liputan Perkhidmatan Radio Paket (GPRS) atau rangkaian telekomunikasi.
“Bagaimanapun, transaksi yang dilakukan mempunyai had hanya RM500 sehari atau tiga kali proses pengeluaran mahupun deposit sehari bergantung kepada ejen,” katanya.
Menurutnya, perkhidmatan itu memberi kelebihan kepada BSN untuk mendekati pelanggan tanpa perlu membuka cawangan baru.
“Bagi memastikan perkhidmatan ini lancar, BSN menjalankan pembangunan sistem dan promosi berterusan dalam tempoh tiga tahun,” katanya.





