PELAKSANAAN Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) telah mendatangkan kesan kepada pasaran automotif Malaysia di mana pembeli kereta telah berpusu-pusu membuat pembelian sebelum cukai tersebut dilaksanakan.

Sebelum ini Proton menyatakan bahawa terdapat perubahan harga apabila SST dilaksanakan, tetapi buat masa ini perubahan tersebut tidak akan memberi kesan terhadap pembeli-pembeli kereta Proton.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Abdul Rashid Musa berkata, ini kerana Proton akan menyerap kos SST untuk semua model Proton bagi memastikan pembeli masih dapat membeli dengan harga tanpa cukai.

"Sementara Proton menunggu maklumat lanjut mengenai pelaksanaan SST, syarikat akan menyerap kos SST tersebut untuk semua model bagi memberi peluang kepada pembeli  membeli kereta.

"Ini juga memberikan manfaat kepada mereka semasa tempoh transaksi serta membantu Proton mengekalkan momentum jualan," katanya.

Tambahnya, di samping kos SST yang diserap untuk semua jenis model pada September ini, Proton juga menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia pada bulan ini dengan memberikan tawaran hebat pada model-model terpilihnya.

"Diskaun antara RM500 sehingga RM1,000 akan ditawarkan bagi Saga, Iriz dan Persona, serta Proton Ertiga Xtra yang baharu sahaja dilancarkan, di mana model tersebut menampilkan tempat duduk baharu berwarna gelap serta unit utama berskrin sentuh dengan penjimatan sebanyak RM2,000 daripada harga asal," katanya.