PENGELUAR kereta nasional, Proton Holdings Bhd, menggunakan sistem nama yang terdiri daripada huruf dan angka untuk model akan datangnya bermula dengan X70, kenderaan utiliti sukan (SUV) pertamanya.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Abdul Rashid Musa berkata huruf X sinonim dengan kenderaan crossover atau SUV, manakala angka 70 menandakan saiz atau kelas SUV itu dan akan membolehkan Proton menggunakan sistem logik untuk menambah model yang lebih besar atau lebih kecil pada masa akan datang.

“Ini merupakan kali pertama sistem nama itu digunakan ke atas model Proton susulan penyelidikan kami menunjukkan ia akan menjadikannya lebih mudah untuk dijual di pasaran Asean dan antarabangsa yang lain, berikutan tiada halangan dari segi bahasa,” katanya kepada pemberita pada sesi pratonton SUV baharu itu di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong berkata penggunaan sistem nama baharu itu akan membolehkan pelanggan lebih fokus kepada nama jenama berbanding nama model.

Abdul Rashid, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, cabang pengedaran Proton, berkata SUV itu akan dibuka untuk tempahan esok di semua pusat Proton 3S dan 4S dengan deposit sebanyak RM1,000.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan harga runcit X70.

Li berkata pelbagai acara, di tujuh bandar utama, akan diadakan dari 19 September hingga 4 November, untuk mempromosikan kenderaan itu sebelum dilancarkan pada akhir tahun.

"Pelan kami untuk mencapai hampir 6,000 orang tetapi itu hanya sebahagian kecil daripada pembeli berpotensi yang kami sasarkan," katanya.

Sementara itu, mengenai pasaran SUV, Abdul Rashid berkata pasaran SUV tempatan masih ketinggalan berbanding pasaran serantau dan antarabangsa dari segi sumbangan SUV kepada jumlah keseluruhan industri (TIV).

Beliau berkata SUV hanya menyumbang 11 peratus daripada TIV tempatan berbanding 15 peratus di Asean dan 34 peratus di peringkat global.

Dalam pasaran antarabangsa, katanya SUV menyumbang 40 peratus daripada TIV di China dan Amerika Utara. –Bernama