KUALA LUMPUR – Proton Holdings Bhd (Proton) merekodkan jumlah jualan sebanyak 70,991 unit pada 2017 iaitu berkurangan sedikit berbanding 72,291 pada tahun sebelumnya berikutan kemerosotan jumlah tempahan bagi tujuan teksi.

Dalam satu kenyataan hari ini, pengeluar kereta nasional itu berkata, model keluarannya seperti Saga, Persona dan Ertiga menyumbang sebanyak 80 peratus daripada jumlah jualan Proton bagi 2017.

“Kereta paling laris kami,  Saga mencatat jumlah jualan kukuh melebihi 30,000 unit pada 2017. Saga adalah sedan pada harga berpatutan dan dilihat sebagai kereta yang ada nilai untuk wang dalam segmen tersebut dan menjadikannya popular bagi pembeli pertama Proton atau mereka yang mahukan kereta kedua.

“Persona pula merekodkan peningkatan jualan sebanyak 27 peratus dengan 19,510 unit dijual berbanding 15,390 unit pada 2016. Ertiga pula mendapat penerimaan yang baik dalam pasaran dengan mencatat jualan 6,091 unit pada 2017,” kata syarikat itu.

Sementara itu, mengulas tumpuan syarikat bagi 2018, Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Proton, Abdul Rashid Musa berkata pihaknya akan meningkatkan pelaksanaan aktiviti seiring dengan Pelan Perniagaan baharu 3-10 tahun yang merupakan teras bagi pemulihan pengeluar kereta berkenaan.

Ini termasuk melancarkan kempen pengguna yang menarik serta mempertingkatkan kualiti produk dan perkhidmatan bagi melonjakkan jumlah jualan kenderaannya.

Sementara itu, bersempena sambutan Tahun Baru Cina, Proton menawarkan diskaun khas membabitkan semua model keluarannya sehingga 31 Januari ini. - Bernama