NEXUS Produktiviti Pelancongan (TPN) telah memutuskan untuk melanjutkan program latihan enam bulan kepada setahun, bagi menyediakan pendedahan yang lebih mendalam menerusi latihan di tempat kerja dalam industri.

Program di bawah Rangka Kerja Produktiviti Malaysia (MPB) itu bertujuan mengukuhkan kerjasama antara industri dan ahli akademik dalam melahirkan graduan yang berkualiti dari universiti tempatan.

Dalam satu kenyataan, Pengerusi TPN, Uzaidi Udanis berkata, program latihan baharu empat modul itu terbahagi kepada empat bidang pengkhususan berbeza iaitu pelancongan dalam negara, acara perniagaan, hotel lestari dan perladangan organik bersepadu adalah bagi memberi pendedahan kepada pelajar dengan persekitaran kerja yang sebenar.

“Terdapat keperluan untuk memperluaskan bekalan profesional muda mahir untuk memenuhi permintaan industri pelancongan di Malaysia.

“Nexus Produktiviti Pelancongan akan melihat semua cadangan oleh para peserta dan meneruskan usaha untuk memformalkan perkongsian strategik dengan ahli akademik dalam merealisasikan program latihan berasaskan industri pelancongan selama satu tahun ini,” katanya.