Malaysia mempunyai kedudukan ekonomi kukuh kerana berjaya berada pada kedudukan 21 daripada 142 negara lain, sepertimana dikeluarkan dalam Laporan Daya Saing Global (GCR) 2011/2012.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kedudukan itu meningkat lima tempat berbanding tahun lalu, malah lebih tinggi dari Korea Selatan yang menduduki tangga ke-24 dalam senarai tersebut.
Menurutnya, peningkatan daya saing negara dibangkitkan semula sewaktu Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang diadakan di Davos, Switzerland, Januari lalu.
“Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) memainkan peranan penting dalam peningkatan ekonomi negara.
“Melalui program transformasi yang dijalankan negara dapat meningkatkan hasil pelaburan domestik serta hasil langsung secara kompetitif,” katanya selepas menyerahkan komputer riba kepada 70 penerima mewakili surau dan masjid di kawasan Parlimen Tambun di Dewan Orang Ramai Taman Meru, Ipoh, semalam.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Husni berkata, hasil daripada pelaksanaan transformasi tahun lalu kutipan cukai yang dicatatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah RM109 bilion melepasi sasaran awal RM103 bilion.
Menurutnya, kutipan bagi Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengatasi sasaran iaitu RM30.4 bilion yang sebelum ini hanya disasarkan RM30 bilion dan muncul kutipan tertinggi dalam sejarah jabatan tersebut.
Program kerajaan tingkat daya saing negara
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini.
Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.





