$entry.content.caption.value
UMW Toyota Motor Sdn Bhd (Toyota) berhasrat menjual 4,000 unit dua model baru yang dipertingkatkan iaitu Prius C dan generasi baru ketiga Toyota Prius yang dilancarkan semalam.
Presidennya, Ismet Suki berkata, syarikat optimis jualan meningkat satu peratus tahun ini apabila Prius C serba baru dan Prius baru masing-masing dijual 1,500 unit serta 2,500 unit.
Menurutnya, generasi ketiga Prius dilancarkan pada 2009 lalu, mencatat jualan lebih 2,700 unit sehingga Disember tahun lalu. Pengenalan Prius C serba baru sekali gus menjadikan kenderaan hibrid Toyota mampu dimiliki.
“Nadi kepada Prius baru dan Prius C serba baru adalah pemanduan sinergi hibrid (Hybrid Synergy Drive) Toyota yang pintar, secara teliti menyatupadukan kekuatan enjin petrol efisien dan motor elektrik berkuasa,” katanya pada majlis pelancaran dua model baru itu di Petaling Jaya, semalam.
Ismet berkata, Prius baru dipacu sistem hibrid dengan enjin 1.8 liter petrol dan motor elektrik yang menawarkan kecekapan bahan api dan pengeluaran asap rendah terbaik. Turut didatangkan dengan dua varian, Prius 1.8 dan Prius 1.8 Luxury.
Katanya, bagi model Prius C kompak serba baru memiliki sistem hibrid enjin 1.5L dalam pakej baru yang menyeronokkan dengan penjimatan bahan api hebat dan harga mampu dimilik bagi profesional muda berimejkan teknologi.
“Kedua-dua model itu boleh didapati di bilik pameran Toyota terpilih di Semenanjung Malaysia bermula 24 Februari dan Malaysia Timur pada 2 Mac,” katanya.





