PRESIDEN merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agrobank, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, meninggalkan jawatannya berkuat kuasa 31 Ogos, 2017, selepas enam tahun menerajui bank tersebut.

Agrobank dalam satu kenyataan hari ini berkata Ketua Pegawai Kewangan bank itu,  Masaat Awadz, akan menanggung tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif sementara lembaga memulakan usaha mencari pengganti  Wan Mohd Fadzmi.

Sebelum pelantikan beliau sebagai Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Wan Mohd Fadzmi memiliki pengalaman luas dalam industri perbankan dan pernah bekerja di hab kewangan utama seperti di London, New York dan Hong Kong selama lebih 15 tahun.

Di Agrobank, beliau memulakan program transformasi lima tahun yang dibangunkan untuk menumpukan kepada memperkasakan perniagaan teras dan asas bank itu dalam memajukan sektor pertanian terutamanya untuk golongan yang tidak dan kurang mendapat liputan.

“Hasil daripada transformasi itu, Agrobank telah berjaya mencatatkan pencapaian sangat membanggakan, antara lainnya, menambah baik proses dan prosedur bagi meningkatkan kecekapan, mengurangkan pembiayaan tidak berbayar kepada satu digit dan membangunkan lebih banyak produk serta pembiayaan yang inovatif dan relevan terutamanya untuk komuniti pertanian,” kata bank itu.  

Tahun lepas, Agrobank mencatatkan rekod pertumbuhan yang sangat memberangsangkan iaitu sebanyak 16.9 peratus dengan jumlah nilai pembiayaan mencecah RM8.7 bilion meskipun keadaan ekonomi global yang suram.

“Prestasi membanggakan itu juga merupakan pencapaian terbaik bagi Agrobank sepanjang penubuhannya,” kata bank itu.

Di bawah kepimpinan Wan Mohd Fadzmi, Agrobank menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa terutamanya dalam bidang rangkuman kewangan dan pembangunan perbankan.

Wan Mohd Fadzmi juga menerima dua pengiktirafan iaitu Anugerah CEO terbaik sebanyak dua kali – pada 2016 di majlis Anugerah Kewangan Islam Global dan pada 2017 di Anugerah Kesatuan Institusi Pembangunan Kewangan Asia Pasifik. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • AGROBANK menandatangani perjanjian kolaborasi strategik bersama Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) untuk mewujudkan kampus tanpa tunai dan menggalakkan penglibatan golongan muda yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan teknikal dalam bidang pertanian.
  • AGROBANK ditubuhkan pada 1969 dengan mandat membangun dan memperkasakan sektor pertanian negara. Ia sebuah bank milik kerajaan di bawah bidang kuasa Menteri Kewangan Diperbadankan.
  • AGROBANK menawarkan skim takaful perlindungan diri komprehensif, Takaful Agro Mabrur-i khas untuk umat Islam.
  • AGROBANK menggalakkan lebih ramai orang awam terutama kakitangan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta membeli tanah pertanian menerusi pembiayaan Hartani-i, berkonsepkan patuh syariah.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.